Wanita maut jatuh dari tingkat atas PPR

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita berusia lingkungan 20-an, maut dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan Blok A, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di sini pada Sabtu.

Menurut sumber, wanita itu menaiki perkhidmatan e-hailing dari Hospital Permai kira-kira jam 10 pagi untuk pergi ke sebuah pasar raya di Kempas.
“Dia keluar ‘outing’ menuju ke @Mart Kempas sebelum datang ke sini (PPR). Dia pernah tinggal di PPR ini, Hospital Permai ada sewakan dua rumah untuk pesakit di Blok A ini.
“Walaupun mangsa kini tinggal dan menerima rawatan hospital, barang-barang dan pakaiannya masih ada di rumah ini,” katanya.
Sementara itu, menurut salah seorang saksi, Mohd Fikri Azhan, 24, dia terdengar bunyi dentuman kuat ketika berada di rumahnya di blok yang sama.
Mohd Fikri berkata, dia kemudiannya turun ke kawasan parkir motosikal itu untuk melihat keadaan wanita terbabit sebelum menghubungi balai polis berhampiran dan ambulans.
“Kejadian berlaku dianggarkan pada jam 11.20 pagi tadi ketika saya sedang berada di rumah. Saya dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat dan apabila menjenguk keluar mendapati terdapat seorang wanita terbaring di atas motosikal,” katanya.
Tambah Mohd Fikri, penduduk setempat tidak mengenali identiti mangsa yang dipercayai bukan penduduk setempat dan berdasarkan kad pengenalan wanita itu beralamat di Merlimau, Melaka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
