India sertai perlumbaan AI global

NEW DELHI – India sedang memecut dalam perlumbaan teknologi kecerdasan buatan (AI) global untuk membangunkan model asas berdasarkan keperluan masyarakat tempatan selepas China kini mendahului Barat dan menggugat Amerika Syarikat (AS) yang mendominasi bidang tersebut.
Pada akhir bulan lalu, Menteri Teknologi Maklumat, Ashwini Vaishnaw mengumumkan enam entiti di New Delhi telah menunjukkan kemajuan dan boleh mengeluarkan model asas mereka menjelang akhir tahun ini.
"Model asas buatan India bakal bersaing dengan model terbaik di dunia," katanya sambil memperincikan rancangan pemerintah untuk menyokong inisiatif itu melalui peruntukan sumber perkomputeran dan pembiayaan.

Penyertaan New Delhi dalam perlumbaan itu di tengah-tengah persaingan sengit antara Beijing dan Washington yang cuba merebut 'takhta' kepimpinan AI setelah model dikeluarkan DeepSeek semakin popular dalam kalangan pengguna di AS, sekali gus mengatasi ChatGPT dihasilkan OpenAI kira-kira tiga tahun lalu.
Menurut Vaishnaw, pemerintah sudah memperoleh 18,693 unit pemprosesan grafik (GPU) yang diperlukan bagi memperkasakan penyelidikan dan pembangunan AI, mengatasi jumlah sasaran awal sebanyak 10,000 unit GPU di bawah Misi IndiaAI untuk tahun kewangan berakhir Mac 2025.

"Pemerintah bakal melancarkan portal yang membolehkan syarikat pemula dan penyelidik mengakses kuasa pengkomputeran ini pada harga yang lebih rendah daripada kadar penanda aras global," ujarnya.
New Delhi dilihat cuba mengikut jejak langkah Beijing untuk meminumkan kos menerusi model DeepSeek-R1 yang hanya menelan kos berjumlah kira-kira AS$6 juta (RM26.8 juta).
Ia adalah jauh lebih rendah berbanding jumlah AS$100 juta (RM447 juta) dibelanjakan syarikat teknologi AS seperti model GPT4 keluaran OpenAI.

Sifat kos rendah DeepSeek telah menjana keterujaan India dengan jangkaan bahawa negara itu boleh menguruskan kos lebih efisien dengan kumpulan bakat teknologi yang besar melibatkan kira-kira lima juta pengaturcara.
Badan industri IT, Nasscom dan firma perunding BCG menerusi laporan pada Februari 2024 mengunjurkan pasaran AI India mencecah AS$17 bilion (RM76 bilion) menjelang 2027 dan berkembang pada kadar tahunan 25 hingga 35 peratus antara 2024 dan 2027.
Pakar bagaimanapun berpendapat negara Asia Selatan yang turut menyertai perlumbaan ke angkasa lepas itu perlu mengatasi beberapa cabaran untuk menubuhkan ekosistem AI yang canggih.
Ia termasuk menyediakan sejumlah besar data yang diperlukan bagi membangunkan model asas, mempertajam asas bakatnya dan meningkatkan pembiayaan untuk penyelidikan AI selanjutnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

