Cikgu Nazmi tersenarai Top 10 Global Teacher Prize, selangkah menang AS$1 juta

SHAH ALAM - Seorang guru di Sarawak tersenarai sebagai 10 finalis terakhir bagi Hadiah Guru Global 2025 yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak AS$1 juta.
Muhammad Nazmi Rosli, 32, yang lebih dikenali sebagai cikgu Nazmi dari Sekolah Kebangsaan Long Sebangang berkata, dia amat bersyukur diberikan peluang untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas global.
“Perjalanan daripada memenangi Malaysia Teacher Prize 2023 anjuran pertubuhan Pemimpin sehingga disenaraikan sebagai salah seorang finalis terakhir untuk Hadiah Guru Global 2025 merupakan pengalaman yang tidak ternilai.
“Kejayaan ini didedikasikan sepenuhnya buat murid-murid yang menjadi inspirasi dan pendorong utama di sebalik usaha saya. Semangat mereka untuk terus belajar merupakan nadi kepada semua projek bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Anugerah anjuran Varkey Foundation itu juga mendapat perhatian daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang turut memberikan penghargaan kepada Muhammad Nazmi atas pencapaian membanggakan itu.
“Pencapaian Muhammad Nazmi sebagai salah seorang daripada 10 finalis terakhir telah membuktikan keupayaan guru Malaysia untuk mencipta perubahan besar dan cemerlang di pentas global.

“Saya amat mengagumi pendekatan beliau yang memupuk kreativiti serta kepimpinan generasi muda melalui inovasi seperti Kelab Filpen,” katanya.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut meluahkan rasa bangga dengan dedikasi dan semangat luar biasa guru-guru seperti Muhammad Nazmi.
“Kejayaan ini mencerminkan nilai-nilai yang selaras dengan aspirasi pendidikan manusiawi yang mana ia tidak terbatas kepada penyampaian ilmu di dalam bilik darjah malah menerusi pembinaan karakter dan masa depan anak bangsa.
“Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus menyokong usaha mereka dalam membentuk generasi masa hadapan Malaysia Madani,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Pemimpin, Samuel Isaiah berkata, Muhammad Nazmi mencerminkan semangat dan komitmen yang menggerakkan jiwa setiap pendidik di Malaysia.
“Kejayaannya sebagai 10 finalis terakhir Hadiah Guru Global 2025 membuktikan bahawa usaha gigih guru-guru kita mampu mencipta perubahan besar.
“Pemimpin amat berbangga dan akan terus berdiri bersama cikgu-cikgu seperti beliau untuk mengembangkan impak positif mereka kepada pendidikan dan masyarakat,” katanya.
Hadiah Guru Global 2025 memberi pengiktirafan kepada pendidik luar biasa yang telah menyalurkan sumbangan besar kepada profesion perguruan.
Ia juga bertujuan meningkatkan martabat guru di seluruh dunia dan mengiktiraf peranan mereka sebagai penggerak masa depan masyarakat.
Pengumuman pemenang Hadiah Guru Global 2025 akan berlangsung di Dubai pada 11 Februari 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
