Isu khutbah Jumaat: Imam buat laporan polis terhadap bekas ADUN

TELUK INTAN - Seorang imam di Masjid Sultan Idris Shah II di sini tampil membuat laporan polis susulan tindakan seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa membuat fitnah ke atasnya berhubung isu khutbah Jumaat.
Mohamad Lotfi Samsudin berkata, tuduhan bekas ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim bahawa dirinya melanggar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak berasas sama sekali.
Katanya, begitu juga dakwaan kononnya tidak menghormati arahan daripada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk) disifatkan sebagai fitnah.
"Tindakan tidak bertanggungjawab ini jelas boleh menjatuhkan reputasi saya sebagai seorang imam di Masjid Sultan Idris II Teluk Intan.
"Saya sentiasa komited melaksanakan tugas saya sebaik mungkin mengikut arahan-arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak JAIPk," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada malam Ahad.
Difahamkan laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sekitar jam 9.30 malam.
Sementara itu, Mohamad Lotfi telah menyerahkan kepada pihak peguam untuk meneliti tuduhan tersebut bagi membolehkan tindakan undang-undang dijalankan ke atas fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

Katanya, tindakan tersebut termasuklah terhadap rakaman video dan hantaran di laman Facebook Hasnul Zulkarnain berkaitan beberapa tuduhan terhadap dirinya.
"Tindakan melemparkan fitnah itu adalah sangat tidak wajar terutama bagi orang yang sangat marah apabila teks khutbah berkaitan fitnah tidak dibaca oleh khatib.
"Saya juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu berniat jahat yang menyebarkan video fitnah tersebut di mana-mana platform media sosial," katanya.
Pada Ahad, Hasnul Zulkarnain membuat laporan polis susulan tindakan seorang imam di sebuah masjid di Teluk Intan yang didakwa enggan membaca teks khutbah disediakan JAIPk pada Jumaat lalu.
Menurutnya, laporan polis itu dibuat setelah imam tersebut mengakui membaca teks khutbah yang disediakan pada tahun 2023, bukan teks khutbah terkini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

