PeSAWAH harap ada khabar gembira

ALOR SETAR - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) berharap bahawa kerajaan akan mengumumkan berita gembira tentang harga lantai padi baharu yang dijangka dibuat pada minggu depan.
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, pihaknya sedang menanti pengumuman rasmi bagi memastikan kepastian terhadap kadar baharu yang bakal diumumkan, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyentuh isu ini di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan berhati-hati dan tidak mahu membuat sebarang spekulasi sehingga pengumuman rasmi dibuat oleh pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Kami tidak mahu membuat andaian yang boleh mengganggu proses di peringkat kementerian. Namun, kami berharap pengumuman itu akan membawa khabar gembira kepada pesawah, terutamanya berkaitan tuntutan yang telah kami kemukakan sebelum ini.
“Kami tidak mahu ulas (lanjut) tapi kita harap kenaikan seperti mana yang kita tuntut dalam memorandum sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdul Rashid berharap kenaikan harga lantai padi kepada kadar relevan dengan kos semasa untuk memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada golongan pesawah.
“Kita harapkan apa yang kita tuntut dalam memorandum dapat direalisasikan (kerajaan) seperti mana kita tuntut,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Abdul Rashid berkata, beliau ingin menjelaskan kekeliruan tentang bantuan sumbangan tunai ataupun elaun tunggu tuai RM600 setahun kepada pesawah.
Menurutnya, elaun tunggu tuai yang diumumkan sebelum ini adalah bantuan khas untuk petani dan bukannya menampung kos diesel atau kenaikan kos lain.
Beliau berkata, elaun terbabit kepada pesawah terbabit adalah sama seperti mana bantuan kepada nelayan ketika musim tengkujuh.
“Elaun tunggu tuai ini tidak mengambil kira keluasan sawah, sebaliknya diberi kepada petani berdaftar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

