Diskaun tol 50 peratus musim perayaan ganti mekanisme tol percuma

SABAK BERNAM - Kerajaan akan melaksanakan diskaun tol sebanyak 50 peratus pada musim perayaan utama sebagai mekanisme menggantikan tol percuma yang diamalkan sebelum ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu dapat menjimatkan kos yang terpaksa ditanggung kerajaan.
Menurut beliau, melalui diskaun 50 peratus kerajaan dapat menjimatkan sebanyak RM180 juta setahun.
"Diskaun tol 50 peratus tersebut akan diaplikasikan selama lapan hari setahun seperti sebelum ini.
"Pada Tahun Baharu Cina diberikan diskaun 50 peratus dengan keputusan itu dibuat memandangkan rakyat masih memerlukannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan kerja bagi pembinaan jejantas laluan motosikal dan pejalan kaki di Jalan Persekutuan (FT) 5 Sungai Besar - Sabak Bernam di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, keputusan pemberian diskaun bagi setiap musim perayaan itu telah dipersetujui kabinet sebelum ini.
"Kabinet boleh putuskan atau tukar pandangan ikut keperluan.
"Semua (kos diskaun) tol ini dibiayai kerajaan dan itu kena tahu dan bukan dibiayai syarikat konsesi. Jadi, saya harap rakyat tahu ini (diskaun 50 peratus tol) dibelanjakan daripada duit rakyat juga," katanya.
Alexander sebelum ini memaklumkan, dasar pemberian tol percuma untuk semua perayaan utama tidak akan diteruskan bermula tahun ini.
Bagaimanapun Kabinet selepas itu membuat keputusan memberikan potongan tol 50 peratus dari kadar biasa sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 bagi semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) pada 27 dan 28 Januari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

