Ancaman DeepSeek bergantung matlamat, persepsi pengguna

SHAH ALAM - Ancaman platform kecerdasan buatan (AI) sumber terbuka DeepSeek China bergantung kepada persepsi dan matlamat yang ingin dicapai oleh setiap pengguna.
Pensyarah bidang keselamatan siber dari Taylor’s University, Profesor Madya Datuk Husin Jazri berpendapat, aplikasi itu amat bergantung kepada jumlah data yang dapat dikumpulkan selain akan dilatih kematangannya melalui data-data yang telah didedahkan kepada aplikasi AI berkenaan.
“Semakin banyak data yang berkualiti maka semakin berkualiti rumusan yang bakal diperoleh dan jika data yang dikumpulkan bersifat propaganda dan tidak tepat, maka rumusan yang dibuat oleh aplikasi itu akan menjadi cacat dan berat sebelah.
“Walau bagaimanapun, dengan konsep keterbukaan dan adaptasi Open Source yang digunakan oleh DeepSeek, kita amat mengalukan kedatangannya dengan harapan akan wujud keseimbangan aplikasi generatif AI dalam alam digital,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini Menteri Digital, Gobind Singh Deo dilapor memaklumkan kerajaan sedang mengkaji impak DeepSeek China terhadap Malaysia yang dikatakan model AI menandingi atau melebihi keupayaan platform yang telah mantap seperti ChatGPT OpenAI.
Menurut Gobind, kerajaan memberi perhatian serius terhadap DeepSeek dan modelnya sebelum ia boleh disesuaikan untuk kegunaan tempatan agar seiring dengan perkembangan pesat landskap AI.
Dalam pada itu Husin menjelaskan, tahap keselamatan dan kesejahteraan siber di negara ini masih subjektif dan memerlukan perbandingan setaraf dalam konteks yang betul.
Malah menurut beliau, tiada jaminan keselamatan 100 peratus kerana setiap sistem digital yang digunakan mempunyai tahap risiko tersendiri, bergantung kepada industri serta tahap perlaksanaan pertahanan yang digunakan.
“Justeru kita tidak boleh rasa selesa dengan kedudukan yang ada kerana ancaman siber bersifat dinamik dan tidak jumud,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
