Tengkorak, tulang manusia ditemui di ladang sawit

Tengkorak dan tulang manusia yang dijumpai di ladang sawit di Siliau. Foto PDRM
Tengkorak dan tulang manusia yang dijumpai di ladang sawit di Siliau. Foto PDRM
A
A
A

PORT DICKSON - Tengkorak dan beberapa tulang dipercayai manusia ditemukan di sebuah ladang sawit di Siliau, Lukut di sini pada Isnin.

Rangka tersebut ditemui jam lebih kurang 10.10 pagi oleh orang awam yang ingin membaik pulih paip bocor di situ.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, Balai Polis Lukut telah menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan penemuan tersebut.

"Kejadian tersebut telah disedari oleh orang awam yang ingin membaik pulih sebuah paip bocor di situ.

"Siasatan lanjut telah menjumpai satu tengkorak dan beberapa rangka tulang dipercayai anggota badan manusia tidak jauh dari tempat tengkorak dijumpai," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, pemeriksaan di kawasan sekeliling tidak menjumpai sebarang dokumen peribadi, pakaian senjata atau identiti yang boleh mengesahkan butiran tengkorak tersebut.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang kesan perlakuan jenayah yang dikesan.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta salurkan kepada Ketua Polis Balai Lukut, Sub Inspektor Lim Hooi Boon di talian 06-647 2222 atau 016-3318360.

"Orang awam juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan kegusaran awam yang mana boleh diambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!