redONE Mobile, Kechara Soup Kitchen edar makanan kepada gelandangan

SHAH ALAM - Pengendali Rangkaian Mudah Alih Maya (MVNO) terbesar di Asia Tenggara, redONE Mobile melalui Yayasan redONE, bekerjasama dengan Kechara Soup Kitchen (KSK) untuk mengedarkan bantuan makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ameen Amaendran berkata, usaha berterusan itu merupakan tanggungjawab sosial syarikat terhadap golongan kurang bernasib baik, selain menyokong inisiatif tempatan yang memberi impak.
Menurutnya, seramai 20 sukarelawan mengagihkan makanan di kawasan utama sekitar ibu kota seperti Pudu, Petaling Street dan Central Market.
“Sebagai sebuah syarikat, aktiviti-aktiviti seperti ini adalah lebih dari sekadar menjalankan perniagaan. Ia adalah tentang saling memberi sokongan dan bersatu bersama komuniti.
“Kami percaya kejayaan sebenar terletak pada memberi impak positif kepada mereka yang memerlukan, kerana masa depan lebih baik untuk semua hanya dapat dibina dengan kerjasama yang erat.

“Pengagihan makanan ini bersama KSK membolehkan kami memberi kembali secara langsung kepada komuniti dan ini merupakan salah satu cara kami untuk membuat perubahan dalam kehidupan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, Pengarah Urusan KSK, Elisa Khong berkata, kerjasama tersebut selaras dengan misi mereka iaitu memenuhi keperluan segera golongan gelandangan dan komuniti yang kurang mendapat perhatian sambil berusaha ke arah penyelesaian jangka panjang.
Tambah beliau, dengan memberikan bantuan makanan dan keperluan asas kepada gelandangan dapat memberi harapan serta kehidupan lebih baik.
“Bersama dengan redONE Mobile, kami dapat memberikan bantuan kepada segmen paling terdedah dalam masyarakat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
