Murid Tahun Empat teruja terima pakaian sekolah baharu

Yeen Ney (tiga dari kanan) menerima uniform sekolah yang disampaikan Ibrahim (kanan). Foto SINAR HARIAN ADILA SHARINNI WAHID
Yeen Ney (tiga dari kanan) menerima uniform sekolah yang disampaikan Ibrahim (kanan). Foto SINAR HARIAN ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

TUMPAT - Kesedihan seorang murid Tahun Empat yang sebelum ini hanya memiliki dua pasang baju sekolah yang dipakai sejak mula mendaftar di Tahun Satu akhirnya terubat apabila menerima sumbangan uniform sekolah baharu di Kampung Mentua di sini pada Isnin.

Yeen Ney Phaisaan, 10, nyata teruja ketika menerima dua pasang uniform sekolah baharu untuk digunakan pada sesi persekolahan Tahun Empat yang bakal bermula 17 Februari ini.

Neneknya, Sookee Tha, 57, berkata, cucu perempuannya itu sudah dua tahun tinggal bersamanya selepas ibu bapa kanak-kanak itu bercerai.

Menurutnya, cucunya itu hanya memiliki dua pasang uniform sekolah yang digunakan ketika dia mula bersekolah di Tahun Satu dan masih memakainya sehingga di Tahun Tiga.

Yeen Ney (kanan) bersama Sookee (tengah). Foto SINAR HARIAN ADILA SHARINNI WAHID
Yeen Ney (kanan) bersama Sookee (tengah). Foto SINAR HARIAN ADILA SHARINNI WAHID

“Walaupun baju sekolah lama tu dah singkat tetapi dia tetap pakai juga.

“Saya orang kampung dan hanya jual sayur, selagi baju sekolah itu masih boleh dipakai, jadi tak belilah. Syukur hari ini Yeen Ney dapat baju baharu untuk dia ke sekolah dua minggu lagi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan oleh Lion Club Kota Bharu Host di Kampung Mentua di sini pada Isnin.

Sumbangan kepada mangsa banjir dalam komuniti Siam itu dilakukan dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenden Ibrahim Husin.

Artikel Berkaitan:

Kanak-kanak menerima bantuan baju sekolah baharu di Tumpat. Foto SINAR HARIAN ADILA SHARINNI WAHID
Kanak-kanak menerima bantuan baju sekolah baharu di Tumpat. Foto SINAR HARIAN ADILA SHARINNI WAHID

Sookee berkata, cucunya itu ada menerima bantuan awal persekolahan RM150 sebelum ini tetapi digunakan untuk membayar yuran persekolahan dan membeli peralatan serta buku tulis.

Sementara itu, Presiden Persatuan Lion Club Kota Bharu Host, Profesor Madya Dr Garry Kuan Pei Ern berkata, sumbangan kelengkapan persekolahan bernilai RM6,700 diagihkan kepada 37 murid dalam kalangan keluarga Siam.

“Sebelum ini kami juga agihkan sumbangan pek makanan berjumlah RM12,000 kepada mangsa banjir di Kelantan terutama Tumpat dan Gua Musang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!