X

Kindly register in order to view this article
!

Perak sah pakai Kelme!

Pemain-pemain memperagakan jersi pada Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Perak FA di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
A
A

SKUAD Perak The Bos Gaurus (TBG) mengesahkan akan memakai jersi jenama Kelme dalam saingan Liga Malaysia Musim 2020 menggantikan jenama Jako sebelum ini.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri pada Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Perak FA di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Menurut Mohamad Azlin, pertukaran jersi di saat akhir terpaksa dilakukan selepas pihak Jako tidak mematuhi perjanjian yang dibuat sebelum ini untuk membekalkan jersi pada tempoh ditetapkan.

"Saya memohon maaf kepada peminat dan mengambil tanggungjawab terhadap penangguhan pelancaran jersi sebelum ini kerana penaja sebelum ini tidak menuruti perjanjian sehingga tempoh akhir yang ditetapkan. Disebabkan itu kita terpaksa membatalkan perjanjian tersebut.

"Jenama baharu ini juga baru kita tandatangan kurang dua minggu lalu sebelum perlawanan Unity Shield yang berlangsung Sabtu lepas," katanya ketika berucap pada majlis tersebut yang dihadiri hampir 1,000 peminat.

Mohamad Azlin (tengah) ketika sidang media bersama-sama Shahrul Saad (kiri) dan Ketua Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic selepas majlis pelancaran tersebut.
Mohamad Azlin (tengah) ketika sidang media bersama-sama Shahrul Saad (kiri) dan Ketua Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic selepas majlis pelancaran tersebut.

Musim ini, Perak mengekalkan jersi tuan rumah berwarna kuning manakala jersi di tempat lawan berwarna putih.

Seperti tahun lalu, Perak tidak meletakkan sebarang nama penaja pada jersi sebaliknya menampilkan kempen Visit Perak pada jersi tuan rumah dan promosi 'Pangkor Free Duty' pada jersi tempat lawan.

Kempen Save Water dan Stop Smoking turut tertera pada kedua-dua jersi dengan memperlihatkan logo baharu yang lebih kemas.

Dalam sidang media selepas pelancaran, Mohamad Azlin menjelaskan, pihaknya akan menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak Jako berhubungan perjanjian yang dibuat sebelum ini.

Katanya, pemilihan Kelme sebagai penaja dibuat kerana jenama tersebut menawarkan penajaan yang cukup baik dengan harga jersi berpatutan untuk penyokong.

Beliau berkata, jersi tersebut akan dipakai oleh kesemua pasukan daripada Liga Super sehingga futsal dan wanita.

Peminat tidak melepaskan peluang bertemu dengan pemain-pemain pasukan Perak selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Perak FA di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Peminat tidak melepaskan peluang bertemu dengan pemain-pemain pasukan Perak selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Perak FA di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Sementara itu, kapten pasukan, Shahrul Saad berkata, jersi baharu yang akan dipakai pemain pada musim ini akan memberikan semangat baharu kepada pemain.

Katanya, jersi tersebut amat selesa dipakai selain menampilkan rekaan menarik buat peminat.

Kelme yang berpangkalan di Elche, Sepanyol merupakan penaja bagi beberapa kelab La Liga seperti RCD Espanyol, Deportivo Alaves, Rayo Vallecano dan sebagainya.

Selain itu, pasukan luar Sepanyol yang mendapat tajaan Kelme termasuklah kelab Rusia, FC Dynamo Moscow, kelab Liga Super China, Shenzen FC dan sebagainya termasuk pasukan kebangsaan Nepal.