Bertemu jodoh kedua di tanah perkuburan

Menjadi rutin Marinah (kanan) dan Nor Hisham menziarahi pusara arwah pasangan masing-masing.
Menjadi rutin Marinah (kanan) dan Nor Hisham menziarahi pusara arwah pasangan masing-masing.
A
A
A

SEREMBAN - Bukan mudah buat seorang isteri untuk menerima pemergian suami buat selama-lamanya, apatah lagi susuk tubuh itulah yang menjadi tempatnya berlindung selama ini.

Kesedihan dek kerana kematian suami pada Mei tahun lalu menyebabkan Marinah Mohd Beseri, 48, mengalami kemurungan selama sebulan.

Namun dengan takdir ALLAH, ibu kepada empat anak ini bertemu jodoh buat kali kedua dan lebih menarik, perkenalan singkat dengan Nor Hisham Mohd Nor, 64, bermula di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights di Senawang.

Ketika itu, duda anak lima berkenaan juga baharu kehilangan isterinya yang meninggal dunia akibat penyakit asma kronik.

Mereka mula berkenalan apabila terlibat dalam kumpulan sukarelawan yang ditubuhkan oleh waris-waris di tanah perkuburan berkenaan.

Menurut Marinah, dia sendiri tidak menyangka bertemu jodoh buat kali kedua dalam tempoh yang singkat.

"Suami saya meninggal dunia bulan lima tahun lalu akibat kanser pankreas dan sejak kehilangannya, menjadi rutin saya menziarahi pusaranya.

"Bila sering ke kubur, saya mula kenal dengan waris-waris lain yang turut ziarah kubur ahli keluarga mereka dan kemudiannya kami sepakat menubuhkan kumpulan sukarelawan membersihkan kubur di situ yang turut disertai suami," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Marinah dan Nor Hisham diijabkabulkan pada November lalu.
Marinah dan Nor Hisham diijabkabulkan pada November lalu.

Ujarnya, disebabkan sering bertemu dengan Nor Hisham ketika melakukan aktiviti sukarelawan di kubur, mereka mula menjadi rapat.

Bagaimanapun katanya, dia tidak pernah terfikir untuk membawa hubungan itu lebih jauh, namun terbuka hati menerima lamaran pesara tentera terbabit kerana melihat keikhlasannya.

"Alhamdulillah anak-anak pun menerima keputusan saya untuk berkahwin lagi dan pada 15 November tahun lalu, kami selamat diijabkabulkan.

"Memang ramai yang terkejut kerana cepat sangat saya bertemu jodoh baharu dan apa yang saya boleh katakan inilah ketentuan ALLAH," katanya.

Nor Hisham pula berkata, dia tidak dapat menolak takdir bertemu jodoh buat kali kedua bersama Marinah.

Katanya, dia tidak sangka akan bertemu jodoh dengan seorang wanita yang baru kehilangan suami dan dikenalinya pula di tanah perkuburan.

"Selepas arwah isteri meninggal pada April tahun lalu, saya tak pernah lupa untuk datang menziarahi pusaranya setiap hari.

"Biasalah bila kita datang ke kubur, akan ada juga waris-waris lain di situ dan termasuklah isteri saya sekarang yang sentiasa ziarah kubur arwah suaminya," katanya.

Ketika itu ujar Nor Hisham, dia tiada langsung niat untuk berkahwin baharu, ditambah pula masih bersedih dengan kehilangan isterinya, namun ALLAH membuka pintu hatinya untuk melamar Marinah bagi mengisi kekosongan hatinya.

"Tak sangka pula dia sedia terima saya seadanya dan kini kami teruskan rutin bersama menziarahi pusara arwah pasangan masing-masing," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!