KWSP umum dividen 5.45 peratus

KWSP
KWSP
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen 2019 pada kadar 5.45 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan sebanyak RM41.68 bilion.

Kadar tersebut menurun sebanyak 0.7 peratus berbanding 2018 membabitkan agihan RM43 bilion.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, agihan tersebut menunjukkan lebihan 2.95 peratus berbanding kadar dividen nominal minima sebanyak 2.5 peratus setiap tahun yang ditetapkan Akta KWSP 1991.

Menurutnya, selain itu dividen purata tiga tahun untuk Simpanan Konvensional selepas penyelarasan inflasi adalah 4.33 peratus iaitu 2.33 peratus melebihi kadar dua peratus yang disasarkan KWSP.

“Pasaran domestik mengalami kesukaran untuk menyokong keupayaan penjanaan pendapatan KWSP di mana 70 peratus aset KWSP adalah dalam negara dengan sebahagian besarnya dalam ekuiti domestik.

"Kami menjangkakan tahun 2020 menjadi lebih mencabar daripada 2019, dengan kesan wabak virus COVID-19 selain perang dagangan AS-China masih lagi tidak menunjukkan tanda akan berakhir.

“Kami berharap pasaran domestik akan berdaya tahan terutamanya selepas pakej ransangan kerajaan yang bakal diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Alizakri berkata, jumlah keseluruhan aset KWSP kini melonjak kepada RM924.75 bilion berikutan peningkatan keahlian sebanyak 2.8 peratus kepada 14.6 juta manakala jumlah majikan berdaftar meningkat tiga peratus kepada 522,300.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, 2019 juga menyaksikan KWSP mencatatkan beberapa peningkatan termasuk 24.6 peratus pelanggan i-Akaun kepada 7.6 juta.

“Pelancaran i-Invest pada Ogos 2019 juga menyaksikan lebih 10,000 ahli membuat transaksi bernilai RM81.8 juta. Produk i-Saraan dan i-Suri masing-masing mencatat peningkatan jumlah pendaftaran kepada 137,000 dan 88,500.

“Bilangan ahli yang menggunakan Khidmat Nasihat Persaraan terus berkembang sejak ditubuhkan pada 2014 dengan memberi manfaat kepada lebih 83,000 ahli,” katanya.

Berdasarkan statistik dividen di laman sesawang KWSP dalam tempoh 20 tahun lalu bagi Simpanan Konvensional menunjukkan, kadar agihan paling tinggi dicatatkan pada 2017 sebanyak 6.90 peratus diikuti 6.84 dan 6.75 peratus masing-masing pada 1999 dan 2014.

KWSP pernah memberikan dividen paling rendah pada 2002 sebanyak 4.25 peratus.

[INFO]

Kadar dividen Simpanan Konvensional KWSP

2019 - 5.45

2018 - 6.15

2017 - 6.90

2016 - 5.70

2015 - 6.40

2014 - 6.75

2013 - 6.35

2012 - 6.15

2011 - 6.00

2010 - 5.80

2009 - 5.65

2008 - 4.50

2007 - 5.80

2006 - 5.15

2005 - 5.00

2004 - 4.75

2003 - 4.50

2002 - 4.25

2001 - 5.00

2000 - 6.00

1999 - 6.84