NAFAS umum dividen DPK 8 peratus

Agihan berjumlah RM10.2 juta libatkan hampir 8,000 pelabur

A
A
A

Mohamad (dua dari kanan) bersama Zamri (kanan) pada majlis Pengumuman Dividen DPK dan Rumah Terbuka Aidilfitri NAFAS 2023 pada Jumaat.
Mohamad (dua dari kanan) bersama Zamri (kanan) pada majlis Pengumuman Dividen DPK dan Rumah Terbuka Aidilfitri NAFAS 2023 pada Jumaat.

PETALING JAYA - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengumumkan dividen Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 sebanyak lapan peratus untuk Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP).

Nilai keseluruhan agihan dividen itu berjumlah RM10.2 juta melibatkan hampir 8,000 pelabur.

Kadar dividen berkenaan membabitkan enam peratus dividen dan dua peratus bonus untuk pelaburan RM50,000 pertama.

“DPK turut mengumumkan satu peratus hibah bagi Akaun Simpanan Biasa Al-Wadiah DPK dengan jumlah keseluruhan komitmen bayaran sebanyak RM10.30 juta,” jelas NAFAS dalam satu kenyataan.

Majlis Pengumuman Agihan Dividen SPKP - DPK itu disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di D’Tunjong Banquet Hall, Kota Damansara di sini, pada Jumaat.

Turut berlangsung, Pengumuman Pemenang Kempen Jom Melabur dan Menang Bersama JomPAY dengan kerjasama Ambank sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri NAFAS 2023.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin.

Beri pulangan kompetitif

Menurut kenyataan itu lagi, DPK mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM12.5 juta dengan keseluruhan agihan dividen dan bonus sebanyak RM10.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun lalu.

Mohamad (tiga dari kiri) bergambar bersama pemenang-pemenang yang menyertai Kempen Jom Melabur & Menang Bersama JomPAY.
Mohamad (tiga dari kiri) bergambar bersama pemenang-pemenang yang menyertai Kempen Jom Melabur & Menang Bersama JomPAY.

“DPK mampu memberikan pulangan yang kompetitif dan konsisten walaupun mengalami ketidaktentuan ekonomi dunia pasca pandemik Covid-19 dengan menguruskan dana berjumlah RM222 juta bagi tahun kewangan 2022.

“DPK meneroka pelaburan baharu yang mapan serta terlibat aktif dalam langganan Saham Tawaran Permulaan Awam (IPO).

“Di samping itu, DPK menawarkan perkhidmatan pembiayaan dan pelaburan usaha sama yang terkumpul lebih RM25 juta bagi projek pertanian sawit dan fertigasi, stesen minyak serta sewa beli jentera yang memberi manfaat kepada rangkaian Pertubuhan Peladang,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, dalam majlis sama, DPK mengumumkan pemenang bertuah yang menyertai Kempen Jom Melabur & Menang bersama JomPAY yang telah berlangsung selama tiga bulan mulai Disember 2022 sehingga Februari tahun ini.

Kempen ini dengan kerjasama Ambank Islamic bagi menarik pelabur DPK melaksanakan transaksi pelaburan secara dalam talian.

Menerusi kempen tersebut, seramai 18 pemenang terpilih melalui cabutan dengan tiga daripadanya adalah pemenang utama.

Pemenang utama, Noraini Yakob (tengah) bergambar bersama pemenang kedua, Rosli Daud (kanan) dan pemenang ketiga, Siti Mariam Jumahat yang memenangi Kempen Jom Melabur & Menang Bersama JomPAY.
Pemenang utama, Noraini Yakob (tengah) bergambar bersama pemenang kedua, Rosli Daud (kanan) dan pemenang ketiga, Siti Mariam Jumahat yang memenangi Kempen Jom Melabur & Menang Bersama JomPAY.

Pemenang tempat pertama menerima sebuah motosikal, tempat kedua sebuah televisyen, manakala tempat ketiga menerima telefon bimbit.

Selain itu, 15 pemenang sagu hati pula, menerima telefon bimbit (5) serta sepuluh lagi menerima bar emas seberat 1 gram.

Sementara itu, NAFAS berharap dapat menarik capaian ahli yang lebih memberangsangkan melalui kemudahan transaksi di hujung jari tanpa tunai selaras dengan transformasi digital perkhidmatan DPK.

DPK yang dilancarkan pada 17 Disember 2012 kata kenyataan itu, bertujuan bagi menyediakan perkhidmatan kewangan yang kompetitif serta menggembleng dana untuk diagihkan dalam bentuk pembiayaan dan pelaburan usaha sama kepada ahli serta rangkaian Pertubuhan Peladang.

“Ia melibatkan NAFAS, 14 Pertubuhan Peladang Negeri, 279 Pertubuhan Peladang Kawasan dan hampir sejuta ahli peladang di seluruh negara.

“Justeru, ahli-ahli Peladang di seluruh negara adalah digalakkan untuk melabur bersama Skim Pelaburan Khas Peladang - DPK sekali gus menikmati pelbagai manfaat tambahan dalam membantu meningkatkan sumber ekonomi warga tani serta dapat mengukuhkan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara,” katanya.

Reaksi pemenang:

NORAINI
NORAINI



“Terima kasih kepada NAFAS yang telah menganjurkan cabutan bertuah ini. Pertama kali dalam hidup saya memenangi hadiah tempat pertama dalam cabutan bertuah. Saya amat terkejut dan tidak menyangka pelaburan saya telah membuahkan hasil.” - Pemenang utama, Noraini Yakob, 51, PPK MADA E2 Usahajaya, Kedah.

ROSLI
ROSLI



“Syabas kepada DPK dan Ambank kerana dengan menggunakan JomPAY, saya dapat membuat penambahan pelaburan dengan mudah dan pantas tanpa perlu hadir ke kaunter. Pelaksanaan JomPAY ini memberi ruang kepada ahli DPK menambah pelaburan pada bila-bila masa sahaja." - Pemenang kedua, Rosli Daud, 57, PPK Kuala Selangor, Selangor.

SITI MARIAM
SITI MARIAM

“Syukur dengan rezeki yang tak disangka-sangka. Saya masuk DPK kerana pulangan dividennya agak tinggi dan mudah berurusan. Saya sentiasa menyokong aktiviti di peringkat PPK, PPN dan NAFAS serta berharap banyak lagi kempen diadakan dan dipelbagaikan bagi menghargai ahli peladang." - Pemenang ketiga, Siti Mariam Jumahat, 39, PPK Ledang Tangkak, Johor.