Suami isteri hasilkan pankek watak kartun popular dunia

KOTA BHARU - Minat yang mendalam terhadap seni lukis membawa rezeki berganda kepada seorang peniaga kedai makan di Medan Selera Stadium Muhammad IV dengan menghasilkan pankek berbentuk watak kartun popular dunia.
Istimewanya, Nor Shahidah Mohd Nawi, 39, boleh melukis lebih 100 watak kartun dan anime selain potret bergantung kepada permintaan pelanggan.

Antara pankek watak kartun dan anime terkenal yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan ialah Kuromi, Gojo, Sonic, Mickey Mouse dan Doraemon.
"Saya mengambil keputusan membuat pankek itu pada Julai tahun lalu selepas mendapati belum ada persaingan selain mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan," katanya.
Menurutnya, sejak itu dia mula melihat di media sosial untuk memperkemaskan lagi lukisan dan campuran warna sebelum yakin boleh menyertai program jualan yang dianjurkan di sekitar Kelantan.
Nor Shahidah yang kini menyertai jualan sempena Food Festival di pekarangan Stadium Muhammad IV bersama suami, Mohd Fakhrul Azam Sidik, 41, yang mahir mencampurkan pelbagai warna untuk menghasilkan watak berkenaan.
Ibu kepada tiga anak itu turut mengambil keputusan mempelajari cara membuat pankek yang enak dengan seorang cef terkenal bagi mengembangkan usahanya itu.

Katanya lagi, setiap hari mereka dapat menghasilkan 200 pankek dengan pelbagai karektor kartun menggunakan 10 kilogram (kg) tepung gandum dan hampir 200 biji telur sehari.
"Saya tiada masalah untuk melukis watak kartun yang diminati pelanggan namun cabaran tetap ada terutama membabitkan tulisan kerana perlu dilukis secara terbalik.
"Jadi saya perlu sabar dan teliti untuk menyiapkan setiap permintaan pelanggan," katanya.
Nor Shahidah memberitahu hanya mengambil masa kira-kira satu minit untuk melakar watak kartun di atas kuali khas sebelum Mohd Fakhrul Azam memasukkan warna.
"Setiap pankek mengambil masa lima hingga tujuh minit sebelum boleh dibawa pulang oleh pelanggan," katanya.
Jelasnya lagi, pankek yang dijual pada harga RM10 hingga RM15 itu dihidangkan bersama sos strawberi dan coklat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
