Presiden Mexico sahkan kematian 6 rakyatnya dalam nahas pesawat di Philadelphia

MEXICO CITY - Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum pada Sabtu mengesahkan kematian enam rakyatnya yang berada dalam sebuah pesawat terhempas pada petang Jumaat di timur laut Philadelphia, Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua.
Presiden Mexico itu menzahirkan rasa dukacita atas kematian rakyatnya dan memaklumkan bahawa pihak berkuasa konsular "sentiasa berhubung dengan ahli keluarga mangsa.”
"Saya telah mengarahkan Sekretariat Hal Ehwal Luar untuk memberikan segala bantuan yang diperlukan. Saya menyampaikan solidariti kepada ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa,” katanya menerusi platform media sosial X.
Jet Rescue Air Ambulance, syarikat yang mengendalikan pesawat itu mengesahkan bahawa pesawat berkenaan membawa empat kru, seorang pesakit pediatrik yang baru selesai menerima rawatan di Philadelphia, serta seorang pengiring pesakit.
Nahas itu berlaku hanya dua hari selepas perlanggaran antara pesawat American Airlines dan helikopter Black Hawk milik Tentera Darat AS di Washington, yang mengorbankan 67 nyawa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
