'Sistem pemilihan lama bukan punca berlaku politik wang dalam UMNO'

SHAH ALAM - Cadangan untuk mengguna pakai sistem pemilihan lama UMNO yang mengehadkan hanya 3,000 perwakilan dari seluruh negara atau 12 wakil setiap bahagian dibenarkan mengundi bukanlah penyebab berlaku politik wang secara berleluasa dalam parti itu.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat, pengurangan jumlah perwakilan yang akan memilih pemimpin tertinggi parti berkenaan seperti Presiden, Timbalan Presiden, Naik Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memudahkan pemantauan dilaksanakan.
"Saya tidak nampak sistem 12 perwakilan mewakili setiap bahagian akan mengundang berlakunya politik wang berleluasa dalam UMNO.
"Jumlah perwakilan yang kecil akan memudahkan parti memantau sebarang kegiatan sogokan atau rasuah politik dan salah laku disiplin dalam kalangan individu terbabit," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang tidak bersetuju dengan cadangan UMNO untuk kembali mengguna pakai sistem lama dalam pemilihan parti akan datang kerana disifatkannya sebagai langkah ke belakang.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan sistem sedia ada diperkenalkan ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden parti tersebut, dilihat jauh lebih demokratik kerana membenarkan sejumlah besar perwakilan – kira-kira 150,000 mengambil bahagian dalam pemilihan pucuk pimpinan parti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini mengesahkan parti berkenaan sedia mempertimbangkan untuk meminda proses pemilihan sebagai sebahagian perubahan struktur meluas mengambil kira cabaran semasa.
Menurut Mohammad Tawfik, langkah menggunakan sistem pemilihan lama dijangka mampu mengurangkan ketegangan, memberi fokus kepada pengukuhan parti sekali gus mengurangkan politiking yang berakar dalam parti.
"Saya tidak nampak pun cadangan supaya parti kembali sistem pemilihan lama adalah usaha untuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai Presiden UMNO.
"Ini kerana semasa 150,000 perwakilan diberikan kuasa memilih pucuk pimpinan tertinggi dalam pemilihan sebelum ini pun sebahagian besar daripada mereka tetap memilih pasukan Zahid untuk menerajui parti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
