'Amanah saman, kami lawan' - Takiyuddin

KOTA BHARU - Pas bersedia untuk melawan Parti Amanah Negara (Amanah) yang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkait dakwaan parti itu dilahirkan daripada DAP untuk memecahbelahkan Pas.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sesiapa pun berhak mengambil tindakan daripada segi undang-undang termasuk Amanah manakala Pas menganggap saman oleh serpihan mereka itu bukan satu masalah besar.
“Amanah nak saman Sanusi, itu hak dia, mahkamah terbuka, siapa nak saman, siapa nak kena saman, boleh, tetapi kadang-kadang banyak juga kes mahkamah, dia saman, dia yang kalah dan kena bayar pada pihak yang disaman.
“Pas tak ada masalah, Amanah saman kita lawan, jangan anggap Amanah saja boleh saman, Pas pun boleh, bukan perkara besar kalau Amanah nak saman, samanlah, biar mahkamah tentukan, see you in court,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Tandatangan Perjanjian Sewa antara Sekolah Rendah Integrasi Islam (SRITI) Al Fateh dan Yayasan Nik Yahya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas mendakwa Amanah ditubuhkan DAP pada tahun 2015 sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk melemahkan Pas.
Beliau membuat kenyataan itu ketika berucap pada Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia di Kompleks Pas Kedah pada malam Jumaat.
Dalam ucapannya, Muhammad Sanusi turut mendakwa Amanah hanya menumpang sokongan DAP dan logo parti tersebut ditiru daripada parti politik lain di India.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

