Lelaki Pakistan lemas ketika mandi-manda di Pantai Port Dickson

SEREMBAN - Percutian sekumpulan pekerja dari Klang, Selangor bertukar tragedi apabila seorang daripadanya ditemukan lemas ketika mandi-manda di Pantai Batu 5, Port Dickson dekat sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, mayat lelaki warga Pakistan berusia 20-an yang juga pekerja bengkel itu ditemukan selepas polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 12.20 tengah hari.
Beliau berkata, mangsa bersama rombongan menaiki tiga bas ke Port Dickson pada jam 9 pagi sebelum mereka melakukan aktiviti di pantai berkenaan.
"Sekitar jam 12 tengah hari mangsa berenang ke tengah untuk mengambil bola dan hanyut. Mangsa dikatakan terkapai-kapai dan lemas sebelum mayatnya ditemukan pada jam 3.12 petang oleh pasukan penyelamat.
"Mayat kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Terdahulu, Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan ,Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, mangsa dikenali sebagai Wasif Shehzad dan mayatnya ditemukan kira-kira 100 meter dari pesisir Pantai Batu 5, Port Dickson. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
