Rampasan 1.16 tan ketamin HCL dalam kapal, JSJN dapatkan maklumat daripada POLRI

Hussein
Hussein
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan berhubung dengan Polis Republik Indonesia (POLRI) bagi mendapatkan maklumat susulan penahanan sebuah kapal tangki dengan rampasan 58 guni dipercayai berisi dadah jenis ketamin HCL seberat 1.16 tan bernilai hampir RM60 juta selepas bergerak dari perairan negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah dimaklumkan penahanan kapal MT Global 168 itu daripada pihak berkuasa Indonesia.

Menurutnya, JSJN akan terus berhubung dengan pihak POLRI dalam mendapatkan butiran lanjut kes ini.

"Ini bagi mendapatkan maklumat risikan lain yang berkaitan sekiranya terdapat sebarang penglibatan ahli sindiket yang beroperasi di Malaysia," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Tambah Hussein, menurut pihak POLRI, kapal tersebut dipercayai dikesan melakukan pergerakan luar biasa sejak 14 hingga 18 Oktober lalu sebelum ditahan di perairan Tanjung Balai Asahan.

Katanya, kapal ini dipercayai berlepas dari tempat berlabuh di Pasir Gudang, Johor dan singgah di Pelabuhan Klang untuk mengisi bahan bakar sebelum bergerak menuju Laut Andaman.

"Di sana, kapal ini melakukan transaksi 'ship-to-ship' (kapal ke kapal) di tengah laut.

"Bagi mengaburi pihak berkuasa, krew kapal telah mematikan Automatic Identification System (AIS) selama tiga hari. Pihak berkuasa mencurigai pergerakan kapal ini yang melakukan corak perpusing di Perairan Luar Pesisir Barat Thailand sebelum menuju ke Laut Andaman," ujarnya.

Media sebelum itu melaporkan rampasan 1,160 bungkusan bahan itu dengan penahanan lapan kru kapal membabitkan tujuh warga Indonesia dan seorang China, pada Selasa lalu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto dilaporkan berkata, pihak berkuasa mula menjejaki pergerakan kapal berkenaan sejak Ogos lalu selepas menerima maklumat risikan mengenai aktiviti mencurigakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!