Kerajaan dicadang pertimbang gaji minimum ikut negeri - ACCCIM

ACCCIM bimbang syarikat PKS di negeri yang kurang maju mungkin tidak mampu untuk menghadapi kenaikan gaji minimum susulan keadaan permintaan relatif rendah. (Gambar kecil: Yih Pyng)
ACCCIM bimbang syarikat PKS di negeri yang kurang maju mungkin tidak mampu untuk menghadapi kenaikan gaji minimum susulan keadaan permintaan relatif rendah. (Gambar kecil: Yih Pyng)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mempertimbangkan penyusunan kadar gaji minimum mengikut negeri dengan mengambil kira perbezaan keadaan sosioekonomi dan demografi setempat.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Ng Yih Pyng berkata, pelaksanaan skim berkenaan adalah pilihan lebih baik berbanding dasar semasa kerana mengambil kira perbezaan kos sara hidup, pembangunan ekonomi serta keadaan pasaran buruh di peringkat serantau.

Beliau turut berpendapat, peningkatan gaji minimum perlu seiring dengan pertumbuhan produktiviti melalui peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi mengekalkan kos rendah bagi setiap pengeluaran produk dan perkhidmatan.

"Bagaimanapun sesetengah majikan menyuarakan kebimbangan pelaksanaan gaji minimum berkenaan mungkin tidak sesuai dan bukan penyelesaian ‘satu saiz untuk semua’ kerana terdapat jurang ekonomi berbeza antara negeri kurang maju dan lebih maju.

"Syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri yang kurang maju mungkin tidak mampu untuk menghadapi kenaikan gaji minimum susulan keadaan permintaan relatif rendah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Seramai 4.37 juta pekerja menerima gaji minimum RM1,700 sebulan berbanding RM1,500 sebelum ini berikutan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu berkuat kuasa secara rasmi pada 1 Februari 2025.

Perintah itu terpakai kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan.

Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos depan bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.

Yih Pyng berpendapat kadar gaji minimum baharu bakal menyebabkan berlaku kenaikan harga barang dan perkhidmatan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Kami berharap syarikat dan majikan dapat menyerap sebahagian daripada peningkatan kos kenaikan gaji demi memastikan tiada peningkatan ketara harga barang dan perkhidmatan di pasaran tempatan.

"Namun begitu, sesetengah perniagaan, terutamanya PKS terpaksa menanggung kos operasi yang lebih tinggi dalam persekitaran yang mencabar ini," ujarnya.

Menurutnya lagi, kerajaan juga perlu menambah baik pelaksanaan levi pelbagai peringkat dan mempertimbangkan semula cadangan mewajibkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing mengikut kadar sama seperti pekerja tempatan berikutan peningkatan kos perniagaan.

"Kami menggesa kerajaan untuk terus menyokong perniagaan dengan penerapan teknologi, pendigitalan dan automasi serta melaksanakan program peningkatan kemahiran dan latihan semula supaya selari dengan perkembangan semasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!