Isu Pesuruhjaya Pas Perak kes terpencil - Takiyuddin

KOTA BHARU - Pas menyifatkan kenyataan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempunyai kaitan dengan keluarga Pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay sebagai kes terpencil.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pandangan yang dinyatakan Razman itu juga tidak mewakili parti berkenaan walaupun beliau bercakap atas kapasiti jawatannya.
“Itu pandangan individu, tidak mewakili parti dan tidak mewakili jawatan dia sendiri walaupun dia bercakap atas nama pesuruhjaya.
“Itu adalah kes terpencil bagi kami, satu atau dua kes saja, parti lain lagi teruk, ada kata parti lain celakalah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Tandatangan Perjanjian Sewa antara Sekolah Rendah Integrasi Islam (SRITI) Al Fateh dan Yayasan Nik Yahya.
Mengulas mengenai desakan kalangan ahli-ahli akar umbi Pas di Perak yang meminta Razman direhatkan seketika, Takiyuddin berkata, perkara itu bergantung kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Ahli boleh menyuarakan apa-apa saja, nak minta orang ini tukar, orang itu berhenti dan sebagainya.
“Tetapi kuasa melantik tetap bergantung kepada Presiden Pas, beliau yang boleh menentukan dengan persetujuan Pas di peringkat Pusat,” katanya.
Sebelum ini, Hannah membidas Razman susulan kenyataan yang mengaitkan beliau dengan keluarga Pengasas Kumpulan YTL itu, sambil mengingatkan Pas bahawa tidak semua individu dengan nama Yeoh mempunyai kaitan dengan YTL.
Razman kemudiannya memohon maaf kepada Hannah dan Kumpulan YTL atas kesilapannya itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

