Penganggur rugi RM56,500 ditipu tawaran pinjaman dalam talian

JOHOR BAHRU - Seorang penganggur rugi RM56,500 angkara tertipu dengan satu tawaran pinjaman wang dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki tempatan berusia 34 tahun itu membuat laporan polis pada Jumaat.
Beliau memberitahu, mangsa tertarik dengan iklan pinjaman wang yang dilihat di laman Facebook pada 22 November tahun lalu dan selepas berbincang, mangsa bersetuju membuat pinjaman sebanyak RM250,000.
"Seterusnya, mangsa telah memberikan maklumat diri bagi tujuan permohonan dan pada 2 Januari lalu mangsa menerima panggilan yang memaklumkan permohonan pinjaman diluluskan.
"Terpedaya dengan janji manis itu, pada tarikh sama hingga keesokan harinya, mangsa telah membuat 12 kali transaksi pindahan wang yang didakwa bagi tujuan bayaran insurans, menaikkan skor kredit dan bayaran yuran pemprosesan pinjaman,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Sabtu.
Menurut Raub, semua transaksi berkenaan dibuat ke dalam dua akaun bank berbeza hingga mencecah RM56,500.
"Bagaimanapun sehingga kini, mangsa masih belum menerima pinjaman yang dipohon sebelum menyedari bahawa dirinya telah ditipu.
"Hasil semakan mendapati nombor telefon yang digunakan serta dua akaun bank yang terbabit masih belum mempunyai rekod penipuan setakat ini," katanya.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati kes terbabit menyasarkan individu yang mudah terpengaruh dengan janji pinjaman wang melalui platform dalam talian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya.
"Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dengan iklan pinjaman dalam talian dan lakukan semakan kesahihan iklan pinjaman melalui portal Semak Mule CCID atau rujuk dengan pihak berkuasa terlebih dahulu.
"Jangan mudah percaya dan jangan berikan maklumat peribadi atau akaun bank kepada individu yang tidak dikenali," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

