PESAKA kesan wujud persatuan silat hanya 'berguru' melalui TikTok

HULU TERENGGANU - Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) tidak menerima mana-mana persatuan yang ingin bernaung di bawahnya namun tidak mempunyai asas seni warisan silat yang kukuh dan hanya mempelajari melalui aplikasi TikTok.
Timbalan Yang Dipertua PESAKA Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, pihaknya mengesan beberapa kes ketika proses tapisan bagi pendaftaran persatuan silat di bawah pertubuhan tersebut.
"Setiap persatuan perlu mempunyai asal-usul silat, rantaian dari mana dan siapa guru yang mereka berguru atau pelajari ilmu persilatan.
"Jika mahu sertai PESAKA, kita akan lihat dari mana rantaian silat itu dipelajari kerana ada golongan muda hari ini yang hanya mempelajari seni mempertahankan diri silat secara 'berguru' melalui TikTok dan ini merupakan perkembangan tidak sihat," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Himpuan Tok Dekor di Kampung Buluh Batu Bersurat, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya berharap trend sebegitu tidak berleluasa kerana ia mencemarkan imej seni mempertahankan diri itu sendiri.
"Setakat ini kita di Terengganu mengesan tiga kes sebegini dan tidak mustahil perkara sama berlaku di seluruh negara.
"Ilmu persilatan perlu dipelajari secara berguru dan bukan hanya melalui aplikasi TikTok atau media sosial yang lain. Ilmu silat ini amat meluas dan mempunyai 'rukun-rukun' tertentu yang perlu dipelajari secara mendalam," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya setakat ini terdapat 28 persatuan yang bernaung di bawah PESAKA dengan jumlah keahlian kira-kira 5,000 orang.
Jelas beliau, penyertaan golongan muda dalam seni pertahanan diri warisan Melayu itu mendapat sambutan tinggi kebelakangan ini.
"Kita lihat penyertaan golongan muda dalam seni silat ini sejak kebelakangan ini memberangsangkan di mana daripada jumlah ahli kita, 60 hingga 70 peratus merupakan golongan muda.
"Sehingga kini kita di Terengganu telah berjaya melahirkan lima juara dunia dan kita amat berharap agar seni silat ini terus berkembang dan diwarisi kepada generasi akan datang,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
