Rakyat digesa sokong Projek Bandar Wakaf

Laporan Sinar Harian mengenai Malaysia negara ASEAN pertama terlibat pembangunan semula Gaza. Gambar kanan: Syed Ahmad
Laporan Sinar Harian mengenai Malaysia negara ASEAN pertama terlibat pembangunan semula Gaza. Gambar kanan: Syed Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia digesa menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Malaysia yang bakal mencipta sejarah sebagai negara ASEAN pertama melancarkan Projek Bandar Wakaf bagi membangunkan semula Gaza selepas Ramadan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman 
menyifatkan usaha ini adalah komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di peringkat global.

Ujarnya, langkah itu menonjolkan kedudukan Malaysia sebagai negara dihormati masyarakat antarabangsa, terutamanya apabila projek ini bukan sahaja membantu membina semula Gaza tetapi juga mempromosikan model wakaf unik dan inovatif.

"Lebih membanggakan, dana bantuan ini datang daripada "independent fund" dan sumbangan sektor korporat, yang menunjukkan kepercayaan tinggi pelbagai pihak terhadap kemampuan dan keikhlasan negara kita.

"Ia adalah cerminan Malaysia Madani yang menjunjung nilai kemanusiaan sejagat dan solidariti bersama rakyat Palestin.

"Kita sekarang di fasa bukan sekadar menggantung bendera Palestin tapi bersedia untuk membantu saudara seIslam kita yang mula berada di fasa pemulihan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun beliau mengingatkan agar rakyat Malaysia tidak terpengaruh dengan segelintir pihak yang mungkin cemburu dengan pengiktirafan diterima oleh PMX sehingga memperlekehkan usaha murni ini.

"Sebagai rakyat yang bijaksana, kita harus mengenepikan polemik dan menyokong usaha yang membawa manfaat kepada umat sejagat.

"Seperti kata pepatah, “hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.” Bantuan seperti ini tidak akan memiskinkan kita, malah ia adalah pelaburan untuk kesejahteraan umat manusia," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, Projek Bandar Wakaf itu juga adalah bukti nyata keprihatinan dan kepimpinan Malaysia di mata dunia.

Jelasnya, dengan pembinaan Masjid Berkembar Shah Alam, Apartmen Wakaf Selangor dan Sekolah Malaysia di Gaza, ia tidak hanya memberikan keperluan asas kepada rakyat Palestin, tetapi juga harapan baru untuk masa depan mereka.

"Saya menyeru semua pihak, sama ada rakyat biasa, sektor swasta, atau NGO, untuk bersama-sama menyokong projek ini.

"Bantulah usaha ini dengan keyakinan bahawa tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!