Malaysia tidak akan jatuh miskin bangunkan Bandar Wakaf di Gaza - Dr Zulkifli

Dr Zulkifli Hasan
Dr Zulkifli Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia tidak akan jatuh miskin kerana membantu pembangunan semula bumi Gaza menerusi Program Bandar Wakaf.

Sebaliknya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, Malaysia akan lebih makmur, sejahtera dan barakah apabila negara membantu orang lain tanpa melupakan rakyat sendiri.

Menurutnya, pembangunan Bandar Wakaf di Gaza oleh Malaysia juga mempunyai instrumen tersendiri memandangkan ada pemberi wakaf dan penerima wakaf tersebut.

Imej lakaran Projek Bandar Wakaf
Imej lakaran Projek Bandar Wakaf

"Ia juga penting untuk membangunkan semula Gaza dalam usaha menyediakan tempat pulang kepada para pelarian Palestin. Percayalah - kita tidak akan miskin dengan membantu orang lain, malahan akan digantikan dengan perkara yang lebih baik oleh Allah SWT," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Zulkifli turut berkongsi pandangan seorang penulis buku bertajuk 'Humanising Education the Bosnian Experience in Malaysia' kepada mereka yang masih tidak percaya usaha Malaysia pernah membuahkan hasil positif.

"Nukilan alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari Bosnia dalam buku itu menzahirkan terima kasih dan penghargaan kepada Malaysia yang membantu mereka ketika perang melanda satu waktu dulu.

"Mereka membangunkan semula Bosnia sebaiknya, antaranya dengan bantuan Malaysia. Bosnia mempunyai sejarah sentimental di dalam jiwa rakyat Malaysia lewat konflik berdarah di sana lebih 30 tahun lalu," katanya.

Tambahnya, ramai pemimpin tertinggi Bosnia sama ada dalam kerajaan mahupun swasta di sana adalah terdiri daripada sekolah pelarian Bosnia di Bangi dan graduan UIAM di Gombak.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia juga mempunyai tempat istimewa di dalam hati rakyat Bosnia, terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).

"Malahan sewaktu Pilihan Raya Umum lepas, mantan Mufti Bosnia, Syeikh Dr Mustafa Ceric dalam videonya yang tular menyeru rakyat Malaysia mengundi dan memilih Anwar sebagai Perdana Menteri," katanya.

Katanya, Anwar memang dikenali sebagai aktivis yang konsisten mengangkat isu penderitaan umat di seluruh dunia, termasuk di Bosnia, Palestin dan Afghanistan sejak dari dulu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!