Geng Nguyen curi iPhone kecundang

SHAH ALAM - Geng Nguyen yang didalangi warga Vietnam dan aktif mencuri telefon bimbit jenis iPhone di pusat beli-belah tumpas dalam serbuan, di Serdang, 25 Januari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi dijalankan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang kira-kira jam 12 tengah hari itu berjaya menahan empat individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 31 hingga 62 tahun.
Katanya, tiga daripada suspek merupakan warga Vietnam dan seorang lagi warga Jordan.
"Polis telah merampas 13 telefon bimbit termasuk 12 daripadanya ialah jenis iPhone.
"Berdasarkan rampasan itu, lapan kes dikesan membabitkan enam daerah iaitu Serdang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Dang Wangi, Cheras dan Sentul, manakala bakinya masih dalam siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Jumaat.
Beliau berkata, geng ini diketuai wanita warga Vietnam berusia 40-an, manakala lelaki Jordan itu berperanan sebagai transporter yang membawa ahli kumpulan ke lokasi sasaran.
Tambah Hussein, suspek utama ini dikesan masuk ke Malaysia pada Disember tahun lepas sebelum pulang semula selepas seminggu.
"Namun, suspek masuk semula pada 17 Januari lalu dan dalam tempoh seminggu suspek melakukan kegiatan jenayah ini.
"Modus operandi geng ini ialah bergerak secara berkumpulan dengan menyasarkan mangsa yang memiliki iPhone. Mangsa yang sedang membeli pakaian akan dialihkan perhatian sebelum suspek kemudian mengambil telefon itu sebelum diserahkan kepada rakan suspek," katanya.
Jelasnya, polis percaya suspek bergerak di pusat beli-belah berdasarkan nota tulisan senarai-senarai pusat beli-belah.
"Telefon bimbit ini dipercayai dijual semula di Vietnam dengan harga sekitar RM3,000," ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 340 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
