Geng Boy curi kabel tumpas, empat lelaki ditahan

JOHOR BAHRU - Satu sindiket mencuri kabel tumpas selepas empat lelaki tempatan diberkas termasuk seorang suspek yang mempunyai 14 rekod jenayah lampau, pada minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, keempat-empat suspek berusia 26 hingga 36 tahun itu ditahan dalam Ops Lusuh dalam tempoh 24 jam selepas kes kecurian tersebut dilaporkan berlaku di Taman Melodie.
"Aduan mengenai kecurian tersebut dibuat penduduk setempat pada jam 3.45 pagi. Empat lelaki dilihat berada dalam keadaan mencurigakan dan sedang mencuri label milik syarikat terbabit.
"Bertindak atas maklumat sepasukan anggota dan pegawai dari Cawangan (D4) Bahagian Siasatan Jenayah bersama-sama cawangan kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan melakukan serbuan di lokasi kejadian.
"Semasa serbuan empat lelaki terbabit berjaya melarikan diri dan meninggalkan lori serta kabel yang dicuri di tempat kejadian," katanya ketika sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan di sini, pada Isnin.
Katanya, suspek dikesan menerusi lori yang ditinggalkan sebelum berjaya menahan kesemua mereka menerusi tiga serbuan di sekitar Kota Masai dan Johor Bahru yang dijalankan dari jam 3.40 pagi hingga 11 malam.
Beliau memberitahu, siasatan mendapati kesemua suspek sudah melakukan kegiatan mencuri kabel optik tersebut sejak enam bulan lalu.
"Modus operandi yang dilakukan adalah dengan cara menarik label optik bawah tanah 'main hole' menggunakan sebuah pacuan empat roda.
"Suspek kemudian akan memotong label optik tersebut menggunakan mesin pemotong besi dan pemotong kayu.
"Kita percaya dengan tertangkapnya empat suspek ini, kita berjaya menyelesaikan lima kes lagi berkenaan curi kabel yang dilaporkan sekitar Masai dan Johor Bahru," katanya.

Menurut beliau, polis turut merampas sebuah lori, sebuah kereta jenis Honda City, 28 batang kabel optik berukuran 3 meter, sebarang kabel optik berukuran 90 meter, sebuah mesin pemotong kayu, satu mesin gergaji dan lima unit telefon bimbit.
Raub memberitahu, hasil semakan mendapati suspek pertama mempunyai 14 rekod lampau kesalahan dadah dan jenayah, suspek kedua mempunyai tiga rekod dadah dan jenayah manakala suspek ketiga mempunyai satu rekod jenayah serta suspek keempat pula mempunyai lapan rekod dadah dan jenayah.
"Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati keempat-empat suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Semua suspek ditahan reman selama empat hari bermula 22 sehingga 25 Januari lalu sebelum disambung reman dua hari lagi sampai hari ini.
"Kes tersebut katanya, disiasat bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

