4 individu ditahan disyaki dalang 11 kes samun

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kejadian samun ragut berlaku di Taman Mawar, Puchong, Selangor pada 3 Januari lalu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kejadian samun ragut berlaku di Taman Mawar, Puchong, Selangor pada 3 Januari lalu.
A
A
A

SERDANG - Tiga lelaki dan seorang wanita ditahan, disyaki terlibat kes samun di Taman Mawar, Puchong, dekat sini pada 3 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, dalam kejadian samun ragut jam 4.40 petang itu, mangsa didatangi seorang lelaki warga tempatan menaiki motosikal dari arah belakang.

Beliau berkata, suspek bertindak meragut rantai leher mangsa dan terus melarikan diri dengan rantai yang dianggarkan bernilai RM8,000.

"Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

"Bertindak atas maklumat, bermula 16 hingga 18 Januari, sepasukan polis telah membuat tangkapan ke atas tiga orang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 31 hingga 55 tahun bagi membantu siasatan.

"Seorang suspek ditahan di Petaling Jaya, manakala suspek utama bersama dua lagi individu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal Dua setelah pulang bercuti dalam negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kata beliau, hasil semakan rekod lampau mendapati tiga orang suspek mempunyai 21 rekod lampau jenayah dan narkotik.

Selain itu menurutnya, saringan ujian air kencing menunjukkan tiga suspek positif dadah.

Tambahnya, pihak polis berjaya membuat rampasan motosikal, helmet dan pakaian yang digunakan semasa jenayah samun itu dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, rampasan lain adalah telefon bimbit, jam tangan, rantai dan cincin dipercayai emas.

Jelasnya, hasil tangkapan dan rampasan dibuat, pihak polis percaya berjaya menyelesaikan 11 kes jenayah samun ragut yang berlaku dalam tiga daerah di Selangor iaitu Serdang, Petaling Jaya serta Subang Jaya.

Beliau berkata, anggaran kesemua kes itu dianggarkan berjumlah sekitar RM40,000.

"Siasatan masih diteruskan dan suspek utama seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun masih dalam tahanan reman sehingga Isnin.

"Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat jenayah untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-80742222 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!