Nasi kerabu satukan Cina, Siam, Melayu

Sambutan Tahun Baharu Cina keluarga Iskandar meriah apabila semua ahli keluarga yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Cina, Siam dan Melayu berkumpul.
Sambutan Tahun Baharu Cina keluarga Iskandar meriah apabila semua ahli keluarga yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Cina, Siam dan Melayu berkumpul.
A
A
A

TUMPAT - Setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, keluarga Wee di Kampung Delima, Wakaf Baharu di sini menjadikan nasi kerabu sebagai hidangan wajib untuk dinikmati oleh sanak saudara dan rakan taulan.

Keluarga tersebut yang terdiri daripada perkahwinan campur antara kaum Cina, Siam dan Melayu turut menjadikan laksa, laksam, roti jala dan sate sebagai menu pada sambutan tersebut.

Wee Kok Tiong atau nama Islamnya, Iskandar Wee, 43, berkata, hidangan itu sudah menjadi tradisi yang diamalkan sejak nenek moyang mereka.

Iskandar (dua kanan) serta adiknya melayan tetamu yang terdiri kaum Melayu datang beraya di rumah mereka.
Iskandar (dua kanan) serta adiknya melayan tetamu yang terdiri kaum Melayu datang beraya di rumah mereka.

“Sebenarnya ramai yang terkejut bila berkunjung ke rumah kami, kerana bagi mereka nasi kerabu biasanya lebih dekat dengan budaya orang Melayu, namun sebaliknya.

“Keluarga kami walaupun berbilang kaum tetapi menggunakan loghat Kelantan sebagai bahasa pertuturan.

“Sepertimana saya dan keluarga, walaupun kami sudah menetap lebih 20 tahun di United Kingdom (UK) tetapi bila berkumpul di kampung, loghat Kelantan juga jadi pilihan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, dia bertemu jodoh dengan isteri, Intan Shafeenaz Mohd Noor, 42, dari Subang, Selangor dan dikurniakan dua orang anak serta menetap di UK.

Ujarnya, setiap kali Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri, mereka sekeluarga akan cuba untuk pulang Malaysia bagi meraikannya bersama keluarga.

Artikel Berkaitan:

Iskandar memberitahu, inilah peluang mereka untuk bertemu sanak saudara lebih-lebih lagi keluarga berbilang kaum.

Ujar beliau, ibunya Mek Kenun yang berketurunan Siam telah meninggal dunia pada tahun 2016, namun hubungan kekeluargaan masih erat.

“Ayah pula, Wee Wan Keu berusia 71 tahun adalah keturunan Cina. Kami adik-beradik boleh bertutur bahasa Mandarin, Siam, Melayu, Inggeris serta loghat Kelantan. Tapi bila berkumpul loghat Kelantanlah jadi pilihan.

“Kehidupan juga dikelilingi oleh kaum Melayu. Sebab itulah sambutan Tahun Baharu Cina di sini sentiasa meriah dan tradisi kunjung-mengunjung masih lagi diamalkan,” katanya.

Iskandar sentiasa berharap agar hubungan yang terjalin itu akan terus berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!