Berhabis RM1,400 borong al-Quran, buku kanak-kanak

Suasana di Jualan Gudang Karangkraf 2025. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Suasana di Jualan Gudang Karangkraf 2025. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Sepasang suami isteri sanggup berhabis wang sekitar RM1,400 dengan memborong 35 naskah al-Quran dan buku kanak-kanak yang ditawarkan pada harga lebih murah sempena Jualan Gudang Karangkraf 2025.

Ahli perniagaan, Mohd Auzir Zakri Abd Hamid berkata, ia bagi tujuan penjualan semula di platform dalam talian yang diusahakan bersama isteri dengan menyasarkan golongan kanak-kanak dan dewasa.

Jelas beliau, ini juga merupakan kali pertama dia datang ke jualan gudang, malah belum pernah menyertai apa-apa program anjuran Karangkraf meskipun menetap di kawasan berhampiran.

Mohd Auzir Zakri
Mohd Auzir Zakri

Bagaimanapun, menurutnya, sambutan orang ramai di acara berkenaan tetap meriah dan memberangsangkan walaupun semasa cuti umum Tahun Baharu Cina.

"Kami fokus terhadap pembelajaran awal kanak-kanak, jadi naskah al-Quran dan buku-buku ini untuk dijual di platform media sosial memandangkan Ramadan hampir tiba.

"Jadi, kami memang sedang mencari stok untuk bulan puasa dan menerusi jualan gudang ini, dapatlah 35 naskah al-Quran muat dua kotak.

Artikel Berkaitan:

"Bisnes kami kecil-kecilan sahaja, tetapi disebabkan permintaan semakin tinggi kami meniaga sepenuh masa. Alhamdulillah sudah tujuh tahun beroperasi," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Jualan gudang menjadi pembuka tirai program anjuran Karangkraf tahun ini dan kembali menemui penggemar buku dari 24 Januari hingga 2 Februari depan bermula jam 9 pagi hingga 7 malam.

Bertempat di Kompleks Kumpulan Karangkraf, pengunjung bukan sahaja berpeluang memperoleh tawaran diskaun sehingga 80 peratus, malah pelbagai aktiviti menarik turut disajikan sepanjang program berlangsung.

Pembeli juga boleh melayari laman sesawang rasmi di www.karangkrafmall.com dan tempoh diskaun sama ditawarkan sepertimana di Jualan Gudang Karangkraf iaitu sehingga 2 Februari depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!