Wanita berjoging maut dirempuh dari belakang

PENAMPANG - Aktiviti joging seorang wanita bertukar tragedi apabila maut akibat dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan dalam kejadian di Kilometer 7.2 berhampiran sebuah pusat beli belah di sini pada pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia serta merta di lokasi terbabit.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 6.20 petang berkaitan kemalangan melibatkan pejalan kaki dan sebuah kenderaan.
"Hasil siasatan mendapati, mangsa sedang berjoging menghala ke Pekan Donggongon namun telah dirempuh oleh sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dari arah belakang.
"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (QEHI)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sammy berkata lagi, pemandu yang tidak mengalami kecederaan itu ditahan pihak polis untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk menyalurkan maklumat kepada Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133 bagi membantu siasatan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
