Dua terbaik Liga Premier 2020 menjadi sasaran Harimau Kumbang

Barisan pemain Pulau Pinang -Foto Facebook FAPenang
Barisan pemain Pulau Pinang -Foto Facebook FAPenang
A
A
A

PULAU Pinang meletakkan sasaran muncul dua pasukan terbaik dalam saingan Liga Premier musim ini bagi mencerahkan peluang beraksi pada Liga Super tahun depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Dr Amar Pritpal Abdullah yakin sasaran itu mampu dicapai dengan gandingan pemain muda dan berpengalaman di bawah bimbingan ketua jurulatih, Manzoor Azwira Abd Wahid.

”Pasukan yang lebih mantap berbanding tahun lalu berupaya mencapai prestasi yang lebih cemerlang pada musim ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi baharu skuad Harimau Kumbang oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Stadium Bandaraya, di sini malam tadi.

Skuad Harimau Kumbang akan membuka tirai liga dengan menentang Sarawak United FC di Stadium Bandaraya, di sini 1 Mac ini.

Terdahulu, Kon Yeow mengumumkan kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan RM8 juta kepada FAP dalam menguruskan pasukan tersebut bagi menghadapi kempen musim ini.

Beliau berkata, pihak pengurusan telah berjaya menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan kini giliran pemain menunaikan tanggungjawab mereka dengan menampilkan aksi yang terpuji musim baharu ini.

Pulau Pinang akan menggunakan tiga warna jersi rasmi bagi menghadapi saingan Liga Premier musim ini iaitu biru sebagai jersi di gelanggang sendiri, kuning di gelanggang lawan dan merah sebagai jersi alternatif.

Dalam saingan Liga Premier musim lalu, Pulau Pinang terpaksa melupakan impian untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim ini selepas mereka dikenakan pemotongan enam mata oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Artikel Berkaitan:

Ia susulan isu tunggakan gaji membabitkan bekas pemain importnya, Reinaldo Lobo, yang beraksi bersama skuad Pulau Mutiara itu selama tiga musim iaitu dari 2015 hingga 2017.

Pemotongan enam mata itu menjadikan jumlah mata muktamad yang dikumpul Pulau Pinang adalah 24 mata dan jatuh ke tangga ketujuh. - Bernama