Dakwa isteri langgar tiga perjanjian taklik, Along Cham nekad fail cerai

HASRAT pelakon dan pelawak, Along Cham untuk menfailkan lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi di Mahkamah Syariah Putrajaya hari ini tidak menjadi kenyataan.
Ini berikutan alamat tempat tinggal mereka berada di bawah mukim Sepang dan proses itu perlu dilakukan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Sepang, Selangor.
Malah Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, tetap dengan keputusannya untuk menfailkan lafaz cerai taklik kerana mendakwa isterinya sudah melanggar tiga perjanjian taklik yang dipersetujui sebelum ini pada tahun lalu.
Antara taklik yang didakwa dilanggar Afreena ialah tidak patuh dan membelakangkan suami.
“Dia langgar taklik itu beberapa bulan yang lalu iaitu pada tahun lepas. Buat masa sekarang saya tak boleh nak cerita panjang sebab semuanya masih belum selesai,” dakwanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya, pada Selasa.
Dedah Along lagi, dia sepatutnya memfailkan lafaz cerai taklik tersebut di mahkamah pada 16 Disember tahun lalu tetapi malangnya ditahan pihak polis pada 14 Disember atas dakwaan memiliki dadah.
Bukan itu sahaja, Along turut mendakwa mengetahui kehamilan Afreena ketika berada dalam tahanan dan dimaklumkan kandungan tersebut telah pun gugur.
Dalam pada itu, pelakon Adnan Sempit itu turut meminta orang ramai tidak melemparkan tuduhan bahawa isu perceraian tersebut berkaitan dengan penahananan kes dadahnya sebelum ini.
Along juga tidak menafikan wujud orang ketiga dan tidak menyangka rumah tangga yang dibina selama sembilan bulan itu bermasalah.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Along bakal memfailkan dan membuat pengesahan lafaz cerai secara taklik terhadap Afreena di Mahkamah Syariah Putrajaya hari ini.
Along dan Afreena, 32, mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024 selepas lapan tahun menduda.
Sebelum ini, Along pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas Bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4) iaitu Zila Seeron, 35, pada 23 Januari 2010.
Bagaimanapun rumah tangga yang dibina tidak bertahan lama apabila mereka bercerai pada 13 Ogos 2016 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak Ahmad Daniel Muhammad Nizamudin, 14 tahun.
Semalam, pelakon filem Tiada Tajuk itu membuat sujud syukur di kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) daripada satu pertuduhan berkaitan pemilikan dadah disyaki kanabis.
Dalam perkembangan berkaitan, Along turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan lain melibatkan pemilikan dan penggunaan dadah.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 sementara menunggu perbicaraan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

