Teruskan berdoa untuk rakyat Palestin walau kini fasa gencatan senjata

WALAUPUN kini berlangsungnya fasa gencatan senjata di Gaza, Palestin, umat Islam perlu terus berdoa agar keselamatan saudara Islam di negara itu terpelihara daripada keganasan Zionis-Israel.
Saranan itu diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel terbaharunya, Bayan Linnas Siri ke-305: Gencatan senjata di Gaza, Palestin: Sikap umat Islam.
Ini kerana kelicikan Zionis-Israel merupakan suatu bentuk penindasan yang mesti dihadapi dengan kesedaran dan keteguhan.
Apatah lagi dalam al-Quran ada memberi peringatan itu supaya kita berwaspada menerusi firman ALLAH SWT: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga kamu menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).” (Surah al-Baqarah: 120)

Antara kelicikan mereka yang mesti diwaspadai umat Islam ialah Zionis-Israel sering kali menggunakan media untuk mengubah pandangan dunia terhadap konflik Palestin memandangkan mereka menguasai sebahagian besar saluran media.
“Malah, mereka turut memanipulasi naratif untuk menggambarkan tindakan mereka sebagai satu bentuk pembelaan diri, manakala tindak-tanduk rakyat Palestin pula digambarkan sebagai ancaman.
“Meskipun mereka mengisytiharkan gencatan senjata, namun apa yang berlaku setelah pengisytiharan itu, mereka masih melakukan serangan terhadap rakyat Palestin hingga mengakibatkan 10 orang terkorban dalam masa dua hari selepas pengisytiharan itu,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel itu yang disiarkan dalam laman web pejabat mufti tersebut pada Selasa.
Justeru, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan umat Islam di seluruh dunia agar bersatu untuk memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin, membongkar naratif yang diputar belit dan memastikan keadilan ditegakkan.
“Mengertilah, keperihatinan terhadap apa yang berlaku di Palestin adalah tanggungjawab bersama umat Islam dan mereka harus terus berusaha untuk menghapuskan ketidakadilan serta memastikan masa depan lebih baik untuk rakyat Palestin berdasarkan prinsip-prinsip Islam,” katanya.
Bagi mendepani isu itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, doa menjadi satu bentuk dukungan kerohanian paling utama dalam Islam kerana ia merupakan senjata bagi Muslim sebagaimana disebutkan dalam banyak kisah para anbia dan salihin.

“Dalam Islam, doa mempunyai kekuatan luar biasa iaitu dengan memohon pertolongan daripada ALLAH SWT.
“Dalam konteks Palestin, umat Islam dapat memperbanyakkan doa untuk kesejahteraan dan keselamatan mereka daripada kekejaman serta kemenangan bagi mereka yang memperjuangkan kebebasan dan keadilan.
“Di samping itu, boleh juga melakukan solat hajat beramai-ramai, qunut nazilah dan seumpamanya,” katanya.
Seperkara lagi, ujar pejabat mufti itu lagi, umat Islam juga boleh memberikan bantuan kemanusiaan untuk meringankan penderitaan rakyat Palestin, sekali gus membangunkan semula bumi Gaza yang hancur dibadai rejim Zionis.
“Antara bantuan kemanusiaan yang boleh disalurkan termasuklah bantuan kesihatan, makanan, kewangan dan seumpamanya.
“Selain itu, boleh juga berikan bantuan dalam bentuk membina semula rumah yang rosak dan menyediakan perlindungan kepada pelarian Palestin di kem-kem pelarian, di samping menolong dalam usaha membangunkan semula infrastruktur yang musnah akibat konflik,” tulis artikel itu.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya kaum Al-Asy'aariyin apabila kekurangan makanan untuk keluarga mereka di medan perang atau di Madinah, mereka akan mengumpulkan apa sahaja yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian, mereka akan membahagikan makanan itu secara sama rata antara mereka dalam satu bekas. Sesungguhnya mereka adalah daripada aku dan aku adalah daripada mereka.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
