Dua lelaki warga asing edar dadah ditahan

Kumarasan (tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada Selasa.
Kumarasan (tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada Selasa.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis menahan lelaki warga Bangladesh dan Indonesia yang dipercayai terlibat pengedaran dadah dan merampas bahan larangan itu dianggarkan bernilai lebih RM373,964 hasil serbuan di Nusa Bestari, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kedua-dua suspek berusia 43 dan 39 tahun itu ditahan dalam operasi narkotik, pada jam 5 petang.

Menurut beliau, polis berjaya merampas serbuk ekstasi seberat 2.1 kilogram (kg), ganja (11.50 gram (g)), syabu (595.21g), heroin (2.2g) dan erimin 5 (3g).

"Suspek warga Bangladesh dipercayai bekerja sebagai tukang kayu sementara warga Indonesia terbabit sebagai 'runner' atau penghantar bekalan dadah kepada pembeli yang dipercayai rakan-rakan mereka.

"Suspek menggunakan modus operandi menjadikan sebuah unit rumah pangsa untuk dijadikan tempat operasi pengedaran dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini pada Selasa.

Menurut Kumarasan, hasil ujian urin mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Kesemua dadah terbabit boleh diedarkan kepada 1,500 orang penagih.

"Kedua-dua suspek direman sehingga 31 Januari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

-

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!