Sapu tangan pemberian Agong jadi kenangan

Ghazali menunjukkan sapu tangan yang mempunyai logo lambang peribadi Sultan Ibrahim diterimanya ketika Seri Paduka Baginda berkunjung ke kafenya pada 24 Januari lalu.
Ghazali menunjukkan sapu tangan yang mempunyai logo lambang peribadi Sultan Ibrahim diterimanya ketika Seri Paduka Baginda berkunjung ke kafenya pada 24 Januari lalu.
A
A
A

PONTIAN - Sapu tangan pemberian Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menjadi kenangan tidak dapat dilupakan pemilik kafe Kopi Tenggek Tanjung Piai, Ghazali Ayub sewaktu Seri Paduka Baginda mencemar duli berangkat ke kafe berkenaan pada pagi 24 Januari lalu.

Menceritakan kembali momen tersebut, beliau menerima panggilan telefon pada jam 9 pagi daripada pegawai yang memaklumkan Sultan Ibrahim akan ke kafe miliknya.

Menurutnya, rasa gemuruh menyelubungi diri walaupun Seri Paduka Baginda pernah mencemar duli ke kafe tersebut pada tahun lalu dan 2023.

Sapu tangan mempunyai logo lambang peribadi Sultan Ibrahim yang diberikan kepada Ghazali.
Sapu tangan mempunyai logo lambang peribadi Sultan Ibrahim yang diberikan kepada Ghazali.

“Sultan Ibrahim memandu sendiri dari Johor Bahru merentasi jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Gelang Patah dengan Tanjung Bin. Yang di-Pertuan Agong tiba di kafe sekitar jam 10.30 pagi.

“Ketika itu, pelanggan di kafe ramai kerana cuti persekolahan. Sultan Ibrahim sememangnya disayangi rakyat, ramai bersalaman dan mereka cukup gembira dapat bertemu Seri Paduka Baginda.

Kopi tenggek yang menjadi pilihan Sultan Ibrahim di Kafe Kopi Tenggek Tanjung Piai.
Kopi tenggek yang menjadi pilihan Sultan Ibrahim di Kafe Kopi Tenggek Tanjung Piai.

“Sultan Ibrahim juga berkenan untuk membayar makan dan minum semua pelanggan ketika itu," katanya kepada Sinar Harian.

Ghazali berkata, kopi tenggek O tanpa gula menjadi pilihan Sultan Ibrahim dan kudapan istimewa keropok lekor chips seberat 20 kilogram yang diisi dalam dua kotak di bawa pulang sebagai ole-ole.

Artikel Berkaitan:

“Seri Paduka Baginda beritahu ada bermimpi. Saya secara berjenaka menjawab, tuanku bermimpi mungkin hendak ke kopi tenggek agaknya.

“Sultan Ibrahim ketawa dan sempat menghulurkan sapu tangan berwarna biru gelap mempunyai logo lambang peribadi kepada saya untuk dijadikan kenangan,” ujarnya.

Gambar kenangan Ghazali bersama Sultan Ibrahim di Kafe Kopi Tenggek Tanjung Piai, dua tahun lalu.
Gambar kenangan Ghazali bersama Sultan Ibrahim di Kafe Kopi Tenggek Tanjung Piai, dua tahun lalu.

Pengusaha Keropok Lekor Crispy Tanjung Piai itu juga sempat berkongsi detik Sultan Ibrahim memesan kuetiau kebontang untuk dibawa ke istana dan dijadikan santapan berbuka puasa pada dua tahun lalu.

“Pada minggu pertama puasa 2023, seorang pegawai dari istana menghubungi saya memberitahu Sultan Ibrahim memesan lima bungkus kuetiau untuk dijadikan menu santapan berbuka puasa.

“Apabila mengetahui saya sendiri menghantar kuetiau itu, Seri Paduka Baginda menitahkan saya untuk menghadap. Ternyata ketika itu saya gemuruh tetapi Sultan Ibrahim cukup mesra bertanya khabar, malah memberikan jam tangan sebagai cenderamata,” ujarnya.

Ghazali menunjukkan menu kuetiau, keropok lekor dan kopi tenggek yang disediakan di kafenya.
Ghazali menunjukkan menu kuetiau, keropok lekor dan kopi tenggek yang disediakan di kafenya.

Bercerita mengenai keistimewaan kopi tenggek, Ghazali memberitahu idea tercetus selepas melihat rakyat Vietnam minum kopi atas cawan yang mempunyai penapis dan serbuk minuman itu dalam penapis sewaktu berkunjung ke negara tersebut pada 2014.

“Dari situ saya dapat idea untuk perkenalkan kopi tenggek di kafe. Kini ia mendapat tempat di hati pelanggan dan penduduk setempat,” tambahnya.

Ghazali menunjukkan keropok lekor 'chips' keluaran perusahaannya di Serkat, Tanjung Piai yang menjadi pilihan Sultan Ibrahim.
Ghazali menunjukkan keropok lekor 'chips' keluaran perusahaannya di Serkat, Tanjung Piai yang menjadi pilihan Sultan Ibrahim.

Dalam pada itu Ghazali mengakui keberangkatan Sultan Ibrahim ke kafenya telah menarik kunjungan ramai termasuk dari luar Johor untuk merasai sendiri keenakan makanan dan minuman dijual.

“Saya bersyukur pengunjung ke kafe semakin meningkat. Ramai anak muda tempatan bekerja di kafe ini. Di samping itu kafe ini juga membantu meningkatkan jualan udang hasil tangkapan nelayan tempatan.

“Kafe Kopi Tenggek Tanjung Piai kini menjadi antara destinasi wajib singgah pengunjung dari Johor dan lain-lain negeri apabila datang ke Tanjung Piai yang dikenali sebagai Penghujung Selatan Benua Asia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!