PATI 'check in' hotel sebelum seludup ke negara asal

Antara PATI warga Indonesia yang ditahan di sebuah hotel di Sungai Besar, Selangor pada Ahad.
Antara PATI warga Indonesia yang ditahan di sebuah hotel di Sungai Besar, Selangor pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Helah sindiket meletakkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah bilik hotel di sini, sebagai tempat transit sebelum diseludup keluar ke negara asal melalui jalan laut terbongkar setelah serbuan dilakukan kira-kira jam 6 pagi, pada Ahad.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Jafri Muhamad berkata, hasil maklumat awam itu menemukan 10 warga Indonesia termasuk lima wanita berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun.

"Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai ingin pulang ke negara asal," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, PGA turut menahan seorang lagi lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun di lokasi terbabit disyaki berperanan sebagai tekong darat.

Tambah Jafri, siasatan awal mendapati PATI itu membayar sekitar RM1,500 seorang kepada sindiket.

"Kita telah merampas dua kenderaan serta beberapa telefon bimbit yang kesemua bernilai RM83,500.

"Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk tindakan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Imigresen 1963," ujarnya.

Tegas Jafri, beliau menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!