Dua rentung: Reman lima suspek kes bakar rumah disambung

ALOR SETAR - Lima lelaki disambung reman selama tujuh hari lagi bagi membantu siasatan kes kematian warga emas dan anak angkatnya yang ditemukan rentung di dalam sebuah rumah di Tongkang Yard di sini pada Selasa lalu.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali, bermula Isnin sehingga 3 Febuari depan bagi polis melengkapkan siasatan.
Pada 22 Januari lepas, kelima-lima suspek terbabit telah ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan kes kematian dua lelaki itu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kelima-lima suspek berusia antara 19 hingga 53 tahun ditahan sejurus selepas kejadian kebakaran berkenaan.
Katanya, tiga suspek utama didapati positif dadah manakala dua daripadanya memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Beliau berkata, kes terbabit pada mula diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sebelum disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ia berikutan hasil siasatan di lokasi oleh polis bersama pihak forensik bomba menemui botol berisi petrol dan kesan petrol.
Siasatan awal polis juga mendapati perbuatan terbabit bermotifkan dendam.
Pada Selasa, media melaporkan seorang warga emas, Ibrahim Mydin, 61, dan anak angkatnya, Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, ditemukan rentung dalam kebakaran terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

