'Tuanku tegas, namun berjiwa rakyat'

Sultan Ibrahim dikenali dengan keperibadian yang berwibawa, berani, tegas dan sangat prihatin terhadap rakyat serta mempunyai hubungan rapat dengan komuniti setempat.
Sultan Ibrahim dikenali dengan keperibadian yang berwibawa, berani, tegas dan sangat prihatin terhadap rakyat serta mempunyai hubungan rapat dengan komuniti setempat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pada 31 Januari ini, genap setahun Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Seri Paduka Baginda dikenali dengan keperibadian yang berwibawa, berani, tegas dan sangat prihatin terhadap rakyat serta mempunyai hubungan rapat dengan komuniti setempat.

Pada masa sama, rata-rata rakyat Malaysia mengakui Sultan Ibrahim merupakan sosok tubuh yang mesra dan mudah didekati, namun tetap memegang teguh kepada prinsip ketatanegaraan dan keadilan.

Pesara kerajaan, Kalaimany Rajoo, 65, berkata, Seri Paduka Baginda merupakan seorang yang tegas, berpendirian teguh dan mempunyai pengetahuan dalam pelbagai bidang daripada teknikal kejenteraan, seni bina serta banyak lagi.

“Baginda juga berminat terhadap haiwan terutama kuda dan baginda adalah seorang pemain polo yang cekap serta dipuji oleh setiap pemain dalam dan luar negara, ini termasuk minatnya terhadap kenderaan seperti kereta sport serta jentera berat vintaj.

“Walaupun wajah Tuanku kelihatan garang, tetapi Seri Paduka Baginda berhati mulia dan suka bergaul tanpa mengira darjat.

“Yang di-Pertuan Agong juga sering mengambil berat berkaitan hal rakyat serta sering membantu komuniti terutamanya ketika bencana. Bukan sekadar Sultan Ibrahim sahaja, malah ahli keluarganya pun sama.

“Saya sebagai rakyat biasa mendoakan semoga Seri Paduka Baginda dan ahli keluarga dikurniakan kesihatan yang baik serta terus menjalankan amanah dalam membela nasib dan menjaga negara tercinta ini. Menjunjung kasih, Tuanku,” katanya kepada Sinar Harian.Sementara itu, bagi pekerja swasta, Nur Hasmaamirah Hassan, 31, personaliti Sultan Ibrahim yang kaya dengan tradisi dan nilai, sering menekankan pentingnya perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.

Ujarnya, Yang di-Pertuan Agong memang terkenal dengan sikap berani dan tegas dalam mempertahankan kepentingan negeri serta rakyat tanpa mengira bangsa, agama, kedudukan dan darjat.

Artikel Berkaitan:

“Seri Paduka Baginda juga sering dianggap sebagai seorang pemimpin berjiwa rakyat dan sangat dikenali kerana pendekatan mesra dan terbuka terhadap masyarakat serta komitmennya dalam menyelesaikan isu sosial dan pembangunan negeri.

“Selain itu, Tuanku turut dikenali dengan sikap berani dan tegas mempertahankan kepentingan rakyat. Kita juga dapat melihat keterlibatan aktif baginda dalam sukan serta aktiviti luar yang mempromosikan gaya hidup sihat untuk dicontohi,” katanya.

Bagi pereka industri, Siew Jia Wei, 26, Sultan Ibrahim mementingkan integriti dalam menjaga kedaulatan dan maruah negara daripada terjejas dengan budaya rasuah serta salah guna kuasa.

Menurutnya, Seri Paduka Baginda tegas dalam memberi amaran kepada penguat kuasa, penjawat awam atau mana-mana individu terlibat dalam perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Sebelum ini Tuanku pernah bertitah ‘kedaulatan dan maruah negara akan terjejas jika pegawai tentera terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa’.

“Sultan Ibrahim juga mesra rakyat kerana sering tampil di tempat umum dan mendengar suara rakyat serta berinteraksi dengan mereka.

“Selain itu, Seri Paduka Baginda sering menghadiri perayaan besar pelbagai kaum seperti Tahun Baru Cina dan Deepavali. Saya berharap di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, politik Malaysia akan lebih stabil serta negara menjadi lebih baik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!