Sanusi sebak terima menantu

Muhammad Sanusi (kiri) dan Jusmalailani (dua, kiri) bersama Nurul Fatihah dan pasangannya, Muhammad Luqman selepas majlis akad nikah.
Muhammad Sanusi (kiri) dan Jusmalailani (dua, kiri) bersama Nurul Fatihah dan pasangannya, Muhammad Luqman selepas majlis akad nikah.
A
A
A

SIK - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kelihatan sebak ketika menyaksikan anak perempuan sulungnya, Nurul Fatihah di jenjang pelamin.

Muhammad Sanusi sedondon berbusana Melayu rona hijau bersama isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh menerima kehadiran menantu pertama, Muhammad Luqman Al Hakim Yusoh.

Pasangan pengantin berkenaan diraikan bersama sepasang lagi pengantin, Nur Jamilatul Husna Mohd Fadzuli dan Abdul Wafi Abdul Halim, yang merupakan anak perempuan kepada abang Muhammad Sanusi.

Majlis diadakan di Kompleks Pas kawasan Sik, Kampung Sungai Pau pada Sabtu itu diserikan dengan keberangkatan Sultan Kedah, Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berkenan meraikan kedua-dua mempelai tersebut.

Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah (kiri) berkenan berangkat meraikan majlis perkahwinan anak perempuan Muhammad Sanusi.
Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah (kiri) berkenan berangkat meraikan majlis perkahwinan anak perempuan Muhammad Sanusi.

Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Muhammad Sanusi berkata, melepaskan anak perempuan sulung ke gerbang perkahwinan bukannya mudah bagi seorang bapa.

“Perasaan gembira bercampur sebak ketika melepaskan anak perempuan pertama hanya seorang bapa yang memahami, kita melepaskan tanggungjawab kepada suaminya.

Artikel Berkaitan:

“Anak perempuan tanggungjawab lebih berat dalam mendidik mereka, saya lepaskan kepada insan tepat untuk bimbing dia (Nurul Fatihah) ke arah lebih baik,” katanya memiliki empat cahaya mata perempuan dan seorang lelaki.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menitipkan pesanan kepada pasangan muda yang mendirikan rumah tangga khususnya sempena cuti persekolahan dan musim perayaan ini.

“Saya ingin berpesan kepada pasangan muda agar perbanyakkan bersabar dalam melayari bahtera rumah tangga.

“Dunia hari ini banyak cabaran dan dugaannya, malah ejen peruntuh rumah tangga ramai, sentiasa berbincang dengan pasangan,” katanya.

Muhammad Sanusi bersama ahli keluarga.
Muhammad Sanusi bersama ahli keluarga.

Menurutnya, pasangan juga perlu membudayakan cara hidup Islam dalam kehidupan agar sentiasa dirahmati ALLAH SWT.

“Berbaliklah kepada Islam dan ikutlah cara hidup Islam. Jangan pandang sepi garis-garis yang Islam tetapkan kerana semua itu berguna dalam menghadapi zaman sekarang penuh cabaran.

“Jangan mencari keseronokan di media sosial secara berlebihan dan jadikan Islam sebagai garis panduan dalam kehidupan,” ujarnya.

Majlis perkahwinan tersebut dihadiri lebih 30,000 tetamu dengan menu istimewa nasi daging gulai rias pisang menggunakan hampir 5 tan daging untuk tetamu.

Turut disediakan kiosk menu sampingan seperti laksa, apam balik, air balang dan kuih muih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!