'Jangan buli, merokok di sekolah'

KUALA LUMPUR - Masyarakat tidak boleh menerima kejadian buli, merokok di sekolah dan menggesa pelajar mengelakkan diri daripada terjerumus dengan perbuatan tidak bermoral.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pelajar yang bakal memulakan sesi persekolahan baharu 2025 perlu elak daripada terjerumus dengan perkara yang tidak sihat, tidak kira dalam pergaulan atau dalam talian.
"Jangan membuli, jangan merokok. Dapatkan bantuan melalui saluran yang betul sekiranya perlu tidak kira apa jua cabaran yang anda hadapi.
"Adab mestilah seiring dengan ilmu. Hormatilah ibu bapa, hormatilah guru-guru dan hormatilah orang di sekeliling anda setiap masa, tidak kira di mana kita berada," ujarnya.
Wan Azizah berkata demikian pada Program Kembali ke Sekolah dan Penyerahan Sumbangan Khas kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-Sekolah Parlimen Bandar Tun Razak 2025 di Institut Latihan Dewan Bandaraya (IDB), Bandar Tun Razak, Cheras di sini pada Ahad.
Hadir sama, Setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Mengenai program itu, menurut Wan Azizah, seramai 2,800 murid dan pelajar dari semua sekolah menengah dan rendah harian di Parlimen Bandar Tun Razak terpilih menerima sumbangan bersempena program itu mengikut syarat-syarat ditetapkan.

"Anak-anak ini menerima sebuah beg sumbangan Yayasan MyPrihatin, baucer Pusat Pakaian Hari-hari bernilai RM100 menerusi sumbangan oleh Amanah Iktiar Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak.
"Kita juga akan menyaksikan penyerahan mock cheque bernilai RM5,000 yang diberikan melalui akaun PIBG 23 buah sekolah rendah dan menengah di Parlimen Bandar Tun Razak.
"Jumlah keseluruhan sumbangan kepada PIBG ini ialah RM115,000," ujarnya.
Beliau mengulas lanjut berkata, pendidikan merupakan tiket penting untuk mengubah kehidupan maka ia memerlukan sifat cintakan ilmu dalam diri masing-masing.
"Buat ibu bapa, berilah galakan dan sokongan sepenuhnya buat anak-anak untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi.
"Jangan khuatir, pengorbanan anda itu akan berbaloi apabila tiba masanya nanti, Insya-ALLAH," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!