MAIS sasar kutipan fidyah RM16 juta tahun ini

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyasarkan jumlah kutipan fidyah sebanyak RM16 juta manakala agihannya sebanyak RM12.4 juta tahun ini.
MAIS dalam kenyataan memaklumkan, sasaran ini ditetapkan agar lebih ramai masyarakat Islam menerima manfaat dan bantuan bagi menjalani kehidupan seharian.
"MAIS melantik ejen kutipan fidyah bagi menyebarluaskan kutipan itu terutama di Selangor iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Malaysia E-Government (MYEG).
"Selain itu, turut dilantik Bank Muamalat Malaysia Berhad, As-Salihin Trustee Berhad dan Rakyat Trustee Berhad," kata MAIS menerusi kenyataan itu pada Sabtu.
MAIS turut bekerjasama dengan Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) bagi membantu menyampaikan sumbangan terus kepada yang layak menggunakan peruntukan fidyah secara menyeluruh dan menepati golongan penerima.
Dalam kenyataan sama, MAIS memaklumkan berjaya membuat kutipan fidyah berjumlah RM12.9 juta seterusnya mengagihkan sumbangan fidyah sebanyak RM13,014,200 kepada 50,054 penerima yang layak sepanjang tahun lalu.
Jelasnya, daripada jumlah agihan RM13,014,200 itu sebanyak RM4,451,526 diperuntukkan sumbangan berupa agihan fidyah MAIS (AFM) kotak makanan, AFM ejen dapur fidyah berjumlah RM1,346,474, AFM tunai sebanyak RM2,374,500 dan AFM wang saku pelajar RM4,841,700.
"Sumbangan AFM kotak makanan dan AFM ejen dapur fidyah diagihkan kepada penerima yang layak berupa pakej makanan asas.
"Bagi sumbangan AFM tunai dikreditkan ke akaun penerima yang layak dan AFM wang saku pelajar diagihkan kepada pelajar yang memerlukan melalui Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS," ujarnya lagi.
Bagi masyarakat Islam yang ingin melunaskan kewajipan fidyah, MAIS menyediakan platform digital kalkulator fidyah iaitu pembayaran fidyah secara dalam talian yang boleh didapati di portal rasmi MAIS iaitu www.mais.gov.my.
Pembayaran fidyah juga boleh dilaksanakan melalui ejen kutipan fidyah MAIS seperti di LZS yang turut menyediakan kemudahan bayaran melalui kaunter dan secara dalam talian.
Dalam perkembangan berasingan, MAIS mengadakan Seminar Perancangan dan Pewarisan Harta Islam dan Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah Tahun 2025 di sini pada Sabtu.
Majlis disempurnakan Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang turut dihadiri Tengku Puteri Datin Paduka Arafiah Almarhum Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah Alhaj dan Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!