JPS bina tembok penahan ombak di Pantai Bagan Nakhoda Omar

SABAK BERNAM - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merancang membina tembok penahan ombak di pesisir Pantai Bagan Nakhoda Omar di sini bagi mengatasi masalah limpahan air pasang besar yang sering berlaku di kawasan tersebut.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, projek pembinaan tembok penahan ombak itu melibatkan dua lokasi utama di pesisir pantai berdekatan Dataran Bagan Nakhoda Omar.
Menurut beliau, panjang tembok penahan ombak di dua lokasi itu masing-masing berukuran 130 dan 120 meter.
"Tembok sedia ada hanya sepanjang 120 meter dan tidak cukup untuk menahan air pasang besar.
"Penambahan tembok sambungan ini penting supaya kawasan pelancongan di sini tidak terjejas," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar memberitahu, kejadian air pasang besar yang sering melanda kawasan dataran itu menyebabkan kerosakan dan memaksa kerja-kerja pembaikan dilakukan lebih kerap.
"Dengan membina tembok baru ini, walaupun kosnya lebih tinggi, ia dapat menyelesaikan masalah jangka panjang dan mengelakkan kos pembaikan yang lebih tinggi di masa hadapan," ujar beliau.
Ditanya mengenai kos pelaksanaan projek itu, Rizam memberitahu, kerja-kerja tender untuk projek tersebut dijangka dimulakan pada Februari depan.
"JPS juga telah menyiapkan dokumen perancangan berkaitan projek ini," tambah beliau.
Fenomena air pasang besar yang melanda Bagan Nakhoda Omar menyebabkan kawasan dataran, jalan dan halaman rumah penduduk sering dilimpahi air laut.
Keadaan itu menyebabkan kerosakan harta benda dan menjejaskan peniaga di kawasan sekitar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

