Kerani didakwa amang seksual anak saudara

SEREMBAN - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak saudara perempuannya, tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 39 tahun dan bekerja sebagai kerani bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bapa kepada empat anak telah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya yang berusia 14 tahun sembilan bulan ketika kejadian.
Kesalahan itu dilakukan pada 9 April 2024, di kolam sebuah homestay di Port Dickson.
Berikutan itu, tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta yang sama.
Jika disabitkan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dengan dua syarat tambahan.
Norazihah turut mengesahkan mangsa adalah anak saudara kepada tertuduh.
Peguam, Mohd Azali Ibrahim berkata, anak guamnya bekerja sebagai kerani dengan pendapatan RM2,000 lebih sebulan.
Katanya, tertuduh menanggung isteri dan empat anak manakala penjamin pula adalah abang kepada tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM8,000 dengan syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu saksi.
Sebutan semula kes untuk serahan dokumen pada 4 Mac 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

