Kami berhak menang - Amorim

RUBEN Amorim menyifatkan kemenangan Manchester United 2-1 ke atas Rangers dalam aksi Liga Europa ke atas Rangers sememangnya amat diperlukan selepas mereka bergelut dengan prestasi hambar di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Menurutnya, United juga berhak menang ke atas Rangers biarpun terpaksa mengharapkan jaringan pada masa kecederaan Bruno Fernandes untuk mengesahkan tiga mata berharga.
Sebelum itu, United terlebih dahulu berada di hadapan menerusi gol sendiri penjaga gol Rangers, Jack Butland sebelum Cyriel Dessers menyamakan kedudukan pada minit ke-88.
Kemenangan itu melonjakkan United ke kedudukan keempat dalam carta Liga Europa dan satu mata lagi ketika menentang kelab FCSB minggu depan sudah cukup untuk membolehkan mereka mara ke pusingan 16.
“Kami tidak layak menerima keputusan seri pada masa ini, adalah adil untuk kami memenangi perlawanan ini. Kami sudah jangka ia akan menjadi perlawanan yang sukar.
“Kami bermula dengan baik, rentak permainan membantu kami kerana ia berbeza dan anda dapat merasakannya.
"Kadangkala kami mengawalnya dengan baik dan kadangkala kami hilang kawalan, tetapi saya fikir kami mencipta peluang terbaik untuk memenangi perlawanan dan kami berhak untuk menang," katanya.
Dalam pada itu, Alejandro Garnacho tetap berada dalam kesebelasan utama United ketika dia dibayangi spekulasi yang mengaitkannya dengan Napoli dan Chelsea.
Amorim berkata, Garnacho masih pemain United namun tidak menolak kemungkinan pemain itu akan berhijrah ke kelab lain.
"Ketika ini, dia di sini, dia adalah pemain untuk Manchester United. Dia sangat penting untuk kami hari ini dan kita akan lihat (situasinya) pada hari-hari berikutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!