Polis rakam keterangan Harith Iskander, kesan Cecelia Yap Song

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah merakam keterangan pelawak dan pelakon, Harith Iskander pada Rabu berhubung hantaran di akaun Facebooknya mengenai isu 'ham' yang didakwa menghina agama Islam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya turut mengenal pasti identiti seorang lagi individu dikenali sebagai 'Cecelia Yap Song' yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes tersebut.
Sehubungan itu, beliau berkata, PDRM masih dalam proses mengesan individu terbabit.
"Setakat ini satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, pihaknya setakat ini menerima sebanyak 16 laporan polis berkaitan isu tersebut di seluruh negara.
Selasa lalu, Harith Iskander, 54, didakwa memuat naik hantaran sekeping gambar di Facebook menunjukkan segelas kopi dinamakan 'ham sap kopi' berharga RM5.50.
Dalam hantaran itu, pelawak selebriti tersebut menyatakan dia berasa keliru dan imannya tergugat.
"Saya begitu keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara.
"Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi hamsap, tetapi juga membuat saya keliru dengan perkataan 'ham' di dalamnya. Ini untuk diminum atau dimakan?
"Saya mesti buat laporan polis kerana saya terlalu lemah sehingga hilang semua kemampuan untuk berfikir secara logik. Siapa lagi yang keliru?" tulisnya.
Hantaran berkenaan kemudian didakwa telah membuka ruang mempersendakan agama Islam apabila seorang pengguna media sosial meninggalkan komen pada hantaran itu yang dipercayai mengaitkan 'ham' dengan nama Nabi Muhammad SAW.
@sinarharianonline Seorang pelawak dan pelakon yang dipercayai membuat hantaran dalam akaun Facebooknya mengenai isu ham yang didakwa menghina agama Islam, telah dipanggil polis bagi membantu siasatan. Mengesahkan perkara berkenaan, Ketua Polis Negara,Tan Sri Razarudin Husain berkata, keterangan daripada pelawak berumur 54 tahun itu dirakam Rabu lepas #SinarHarian#SinarTerkini #HinaIslam #pelawaktempatan#PDRM News serious information news program - gooooodee_jay
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!