Gagal memotong, penunggang motosikal maut nahas tiga kenderaan

A
A
A
KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggang gagal memotong lalu bergesel dengan sebuah lagi motosikal dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Mengabang Telong Batu Rakit, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihak polis menerima laporan berhubung insiden itu pada jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, mangsa, Muhammad Badaruddin Ali, 44, yang menunggang motosikal jenis Honda meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

"Ketika kejadian, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HRV dari arah Batu Rakit menghala ke Kampung Pak Tuyu manakala dua motosikal jenis Yamaha dan Honda dari arah Pak Tuyu menghala ke Batu Rakit.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika motosikal jenis Yamaha bergerak, tiba-tiba motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah sama telah memotong tersebut menyebabkan kedua-duanya bergesel.

"Mangsa telah terjatuh ke laluan SUV menyebabkan kenderaan itu telah terlanggar penunggang motosikal terbabit kerana jarak yang terlalu dekat," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Azli berkata, pemandu SUV tidak mengalami kecederaan manakala penunggang motosikal Yamaha mengalami kecederaan ringan.

"Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Universiti Sultan Zainal Abidin (HoSZA) untuk tindakan lanjut.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 " katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!