X

Kindly register in order to view this article
!

Projek solar tidak pernah dilaksanakan

Saksi ketujuh untuk kes rasuah melibatkan isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor; Datuk Othman Semail ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. --fotoBERNAMA
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi pendakwaan ketujuh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan, Datuk Othman Semail memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa melalui pengetahuannya sistem solar hibrid untuk sekolah di Sarawak di bawah kontrak Kementerian Pendidikan dengan Jepak Holdings tidak pernah dilaksanakan.

Othman berkata, hanya bekalan diesel dan penyelenggaraan penjana tenaga diesel dijalankan di sekolah di Sarawak oleh syarikat itu setakat ini.

"Saya tidak dikemaskini dengan status terbaru sama ada kontrak tenaga diesel telah ditamatkan atau tidak.

"Tetapi apa yang telah dijalankan setakat ini hanya bekalan diesel dan kerja-kerja penyelenggaraan," katanya ketika memberikan keterangan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Othman berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi pemeriksaan balas daripada peguambela Datuk Akberdin Abdul Kader.

Ketika ditanya Akberdin mengenai adakah Kementerian Pendidikan (KPM) tahu mereka tidak ikut prosedur berhubung projek hibrid solar yang diusulkan bagi menggantikan projek genset diesel.

Othman berkata, KPM sebenarnya tidak melakukannya dengan betul berhubung usaha wajar yang perlu dilakukan sebelum Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan kepada Jepak Holdings berhubung projek solar hibrid di Sarawak.

Othman bersetuju dengan soalan Akberdin berhubung tindakan KPM itu dan menegaskan mengenai Perenggan 163 dalam kenyataan saksinya, di mana dia menggunakan perkataan "kenyataan sinis" berkaitan dengan surat daripada Kementerian Kewangan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan pada masa itu, Alias ​​Ahmad pada 20 Januari 2017.

Surat yang mengandungi kenyataan bahawa Kementerian Kewangan berpendapat bahawa KPM tetap berusaha mendapatkan pelaksanaan perolehan bagi syarikat Jepak Holdings dan keluarkan SST walau tiada rundingan harga dan syarikat itu terus menetapkan harga mereka sendiri.

Sehubungan itu, Othman menyatakan bahawa pengeluaran SST untuk projek solar hibrid itu tidak mematuhi prosedur untuk rundingan terus seperti dinyatakan Pekeliling Perbendaharaan dan peraturan lain.

"Mereka sendiri tahu bahawa mereka tidak lakukannya dan ikut prosedur. Sepatutnya mereka faham," katanya.

Prosiding Perbicaraan kes rasuah solar melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor semalam masuk hari ke-10 dan dua saksi dipanggil memberi keterangan termasuk Datuk Othman Semail saksi pendakwaan ketujuh dan saksi pendakwaan kelapan, kontraktor kelas F, Razak Othman.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus