Kerajaan Madani tidak pinggir negeri pembangkang

TANAH MERAH - Kerajaan Madani tidak meminggirkan negeri-negeri pembangkang, sebaliknya terus memberikan pelbagai peruntukan kewangan termasuk bantuan sekali beri kepada golongan kurang berkemampuan.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, setakat ini kesemua negeri tersebut iaitu Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu telah menerima manfaat yang disediakan oleh pemimpin nombor satu negara itu.
"Apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) jelas menunjukkan Kerajaan Madani tidak pernah meminggirkan negeri-negeri pembangkang walaupun berlainan pucuk pentadbiran.
"Sebagai contoh beliau (Perdana Menteri) mengarahkan semua setiausaha-setiausaha politik untuk turun padang mewakilinya untuk menyantuni rakyat," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Program Bantuan One Off Perdana Menteri anjuran bersama Pertubuhan Masyarakat Madani Gaul Ipoh (MMGI) di sini pada Khamis.

Pada program tersebut seramai 500 penerima terdiri daripada golongan asnaf menerima bantuan sekali beri berjumlah RM200 seorang.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Amanah Majlis Getah Malaysia (MRC), Datuk Seri Suparadi Md Nor.
Menurut Azman, bantuan ini baharu memasuki fasa pertama di mana agihannya telah melibatkan 30 peratus penerima dan dilaksanakan di 10 buah negeri.
Ujarnya, setakat ini Sarawak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan belum lagi disantuni dan ia akan dilakukan dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut beliau berkata, di Kelantan pada hari ini sebanyak lima jajahan disantuni iaitu Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu, Tumpat dan Rantau Panjang.
"Ia melibatkan lebih 1,300 penerima yang dipilih oleh kepimpinan setempat serta mereka yang memerlukan.
"Besar harapan kami agar bantuan yang dihulurkan ini dapat meringankan beban penerima menjelang penggal baharu persekolahan serta awal Ramadan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!